Malaysia perlu tangani golongan kurang bernasib baik

Bernama
Julai 25, 2017 07:38 MYT
Datuk Chong Sin Woon dan Datuk Tiffanee Marie Lim bersama para pelajar yang bermasalah pendengaran pada majlis menandatangani persefahaman antara Universiti Limkokwing dengan Institut Teknologi Zhengzhou di Universiti Limkokwing. Foto BERNAMA
Jika mahu menjadi negara maju, Malaysia perlu memenuhi keperluan golongan kurang bernasib baik dan terpinggir, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.
Beliau berkata yang lebih penting, golongan yang memerlukan keperluan khas perlu mewakili sektor hospital, kehakiman dan bidang perundangan.
"Oleh itu negara memerlukan lebih banyak institusi persendirian seperti Universiti Limkokwing untuk tampil memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan pendidikan khas," katanya semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Limkokwing dan Institut Teknologi Zhengzhou, China di sini pada Selasa.
Di bawah MoU itu, 15 pelajar dari institut tersebut akan mempelajari bahasa isyarat tangan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia selama enam bulan di Universiti Limkokwing.
Chong berkata Malaysia mempunyai bahasa isyarat sendiri bagi golongan kurang pendengaran yang boleh dipelajari 15 pelajar institut berkenaan buat pertama kali.
-- BERNAMA
#Chong Sin Woon #Malaysia #negara maju #Timbalan Menteri Pendidikan
;