Malaysia perlu sedia dana mencukupi untuk bekalan vaksin akan datang
Rahimah Abdullah
Jun 27, 2021 16:29 MYT
Jun 27, 2021 16:29 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersedia dengan dana mencukupi bagi memastikan bekalan vaksin COVID-19 berterusan pada masa akan datang.
Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, langkah itu penting bagi menghadapi peningkatan kes COVID-19 membabitkan varian berbahaya seperti Delta.
"Kita harus bersedia dari sekarang, dan persediaan itu termasuk mendapatkan dapatkan bekalan vaksin dengan dana mencukupi dan banyak.
"Jadi kita kena lakukan reformasi dalam sistem kesihatan kita supaya sumber pembiayaan yang lebih berkesan dan cukup dapat disediakan," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Ujarnya, Malaysia tidak boleh lagi menggunakan pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila COVID-19 diisytiharkan sebagai suatu endemik.
Namun, negara perlu menekankan pendekatan kesihatan awam yang lain seperti penjagaan tahap kesihatan dan penjagaan kesihatan primer menggunakan vaksin.
"Pengalaman kita menangani penyakit selesema misalnya, kita ada vaksin yang diberikan secara berkala setiap tahun dan diambil oleh golongan berisiko tinggi.
"Setiap tahun ada varian virus, maka vaksin selesema diubah suai dan ini akan berlaku apabila kita menangani COVID-19 pada masa akan datang," tambahnya.
Justeru beliau yakin vaksinasi adalah langkah yang paling baik untuk menangani endemik COVID-19.
#Malaysia
#COVID-19
#PKP
#vaksin
#dana mencukupi
#bekalan vaksin
#endemik
#selesema
#Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid