Malaysia perlu rebut peluang bangun pelancongan mesra Muslim
Bernama
Disember 7, 2019 05:11 MYT
Disember 7, 2019 05:11 MYT
Malaysia sebagai negara Islam perlu merebut peluang membangunkan konsep pelancongan mesra Muslim, sekali gus menarik lebih ramai pelancong Islam berkunjung ke negara ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.
Beliau berkata potensi sektor pelancongan halal dan mesra Muslim cukup besar, selain mampu menjadi pembawa perubahan kepada industri pelancongan dunia dan menjana pendapatan lumayan selain mencipta peluang pekerjaan serta perniagaan bagi penduduk setempat.
"Sektor pelancongan halal dan mesra Muslim global dijangka bernilai lebih AS$220 bilion atau hampir RM1 trilion menjelang tahun 2020," katanya ketika merasmikan International Muslim Friendly Carnival (IMFC) 2019 di sini, Sabtu malam.
Menurutnya, sebab itu Malaysia perlu menggandakan usaha mempromosi sektor pelancongan mesra Muslim kerana mengikut laporan Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index, Malaysia menduduki tangga pertama selama sembilan tahun berturut-turut sebagai destinasi pelancongan halal utama dunia.
"Sektor ini berkembang dengan pesat dari tahun ke tahun dengan lebih 165 penganut agama Islam sedunia dijangka membuat tempahan perjalanan dan melancong ke destinasi pilihan mereka pada tahun hadapan," katanya.
Mohamaddin berkata negara bukan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti United Kingdom, Korea Selatan dan Jepun kini rancak membangunkan perkhidmatan serta kemudahan mesra Muslim dengan turut menawarkan restoran makanan halal untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong beragama Islam.
Menurutnya, susulan itu, semua pihak berkaitan perlu menambah baik tawaran produk serta perkhidmatan yang mampu menggamit pelancong beragama Islam untuk melancong ke Malaysia selepas ini.
"Jika peluang ini tidak kita rebut, hasrat dan pencapaian untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama penduduk dunia akan sukar dicapai.
"Hal ini kerana, sektor pelancongan halal dan mesra Muslim ini meningkat naik dan kita menerima persaingan sengit dari negara seperti Indonesia, Thailand, Turki, dan Arab Saudi, yang kini bekerja keras dalam mempromosikan destinasi masing-masing," katanya.
Beliau berkata untuk memperkasa lagi visi dan misi berkenaan, kementeriannya serta Tourism Malaysia akan mengangkat pembangunan sektor pelancongan halal dan mesra Muslim sebagai satu daripada teras utama dalam rangka strategik pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2020.
IMFC 2019 dianjurkan pertama kali dengan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri selama lima hari bermula 6 Dis di Semporna.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof percaya dengan daya tarikan yang terletak di bahagian pantai timur Sabah, dan penganjuran IMFC 2019 mampu menarik perhatian pelancong terutama dari negara Islam berkunjung ke Sabah.
"Ketika ini, Semporna menerima kemasukan 900,000 pelancong dan boleh bertambah dengan kemasukan pelancong dari negara Islam.
"Lima negara penyumbang dari negara Islam ke Malaysia termasuk Iran, Iraq serta Saudi Arabia dan satu orang mereka ini membelanjakan RM13,000, bayangkan limpahan pelancong ini bawa ke daerah ini," katanya.
Beliau berharap IMFC dapat dijadikan sebagai acara tahunan serta platform untuk berkongsi pandangan bagi mengukuhkan strategi pembangunan pelancongan khususnya bagi memajukan pasaran pelancongan halal.
-- BERNAMA