Malaysia perlu peruntukan sehingga RM90 bilion biayai projek tenaga kritikal 10 tahun akan datang

Bernama
April 16, 2024 20:00 MYT
Nik Nazmi berkata keperluan itu merangkumi pengembangan pengangkutan awam, memperkukuh infrastruktur grid dan menambah kemahiran tenaga kerja.
KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan peruntukan sebanyak RM60 bilion hingga RM90 bilion untuk membiayai projek kritikal melibatkan peralihan tenaga dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata keperluan itu merangkumi pengembangan pengangkutan awam, memperkukuh infrastruktur grid dan menambah kemahiran tenaga kerja.
"Komponen penting adalah grid yang kukuh dan boleh disesuaikan untuk menangani pertambahan pergantungan kepada sumber tenaga boleh baharu.
"Anggaran kos untuk pembangunan grid juga besar, mencecah RM180 bilion (AS$38.6 bilion) menjelang 2050, untuk membantu matlamat tenaga bersih Malaysia," katanya berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bursa Malaysia dan program MOBILIST (Mobilising Institutional Capital Through Listed Product Structures) kerajaan United Kingdom (UK) di sini hari ini.
Kerjasama itu bertujuan membolehkan pelaburan yang lebih besar untuk menyokong inisiatif peralihan tenaga dan menambah baik Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia.
Menurut Nik Nazmi, kerjasama itu akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif, menggalakkan lebih banyak pelaburan hijau di seluruh rantau ini.
"Kami juga berterima kasih kepada kerajaan UK atas kepimpinannya dalam mewujudkan program ini. Kerjasama mengenai kewangan mampan ini membina asas kerjasama yang kukuh antara kedu-dua negara, seperti MoU sedia ada antara UK dan Malaysia untuk bersama-sama berusaha menangani isu iklim," katanya.
-- BERNAMA
#projek tenaga kritikal #peralihan tenaga #Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam #Nik Nazmi Nik Ahmad
;