Malaysia perlu peroleh, bangunkan teknologi secara strategik untuk jadi negara maju

Bernama
Ogos 13, 2024 14:14 MYT
Malaysia perlu bertindak secara strategik untuk memperoleh dan membangunkan teknologi sendiri ke arah menjadi negara maju, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bertindak secara strategik untuk memperoleh dan membangunkan teknologi sendiri ke arah menjadi negara maju, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Beliau berkata walaupun pelaburan langsung asing (FDI) diperlukan namun, Malaysia perlu bertindak strategik menerusi pendekatannya.
"Malaysia menganggap FDI adalah hampir segala-galanya, dan saya berpendapat pemikiran itu perlu berubah," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Perundingan Nasional mengenai Perindustrian Hijau di Malaysia: Strategi Dasar Bersepadu untuk Masa Depan yang Mampan di sini, pada Selasa.
Acara itu dianjurkan organisasi antarakerajaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) serta Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Beliau berkata menerusi Rangka Kerja Ekonomi MADANI, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan selama lebih 20 tahun, pelaburan hanya membentuk kira-kira 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Sebaliknya, semasa tempoh awal pertumbuhan ekonomi, ia membentuk kira-kira 40 peratus daripada KDNK. Ada satu ketika pada 1997, ia meningkat kepada kira-kira 45 peratus.
"Walaupun ada beberapa contoh keadaan ekonomi berkembang pada kadar tidak mampan, perkara utama daripada keadaan tersebut adalah pelaburan itu penting dan pelaburan asing pula diperlukan, namun kita seharusnya bertindak strategik dalam pendekatan kita," katanya.
Liew berkata perindustrian tidak boleh hanya mengenai eksport sebaliknya, perlu mempunyai beberapa bentuk misi untuk menyelesaikan masalah masyarakat.
Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 menyenaraikan misi yang kesemuanya adalah kunci untuk mentransformasikan industri Malaysia kepada industri berproduktiviti tinggi, kemahiran tinggi dan paling penting gaji tinggi, katanya.
Beliau berkata perbandingan yang dibuat oleh ahli ekonomi di Seoul National University, Prof Keun Lee mengenai sektor semikonduktor di Taiwan, Shenzhen dan Pulau Pinang menunjukkan sektor di Pulau Pinang masih didorong terutama oleh firma asing.
"Sebagai perbandingan, sektor di Taiwan dan Shenzhen mempunyai lebih banyak teknologi dan inovasi," katanya.
Sementara itu, Liew berkata beliau gembira melihat syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi lebih perhatian kepada industri semikonduktor di Malaysia.
"Industri semikonduktor dahulunya dianggap sebagai pelaburan yang didorong oleh swasta. Kini, industri ini telah menjadi tumpuan dalam keadaan ketegangan geopolitik semasa antara China dan Amerika Syarikat.
"Ini disebabkan keperluan untuk mempunyai akses kepada cip canggih yang semakin meningkat untuk menggerakkan semua benda, daripada telefon pintar sehinggalah kenderaan elektrik," katanya.
Beliau berkata keupayaan berfikir secara kritis mengenai cara untuk meletakkan dan mempercepat kemajuan dalam semikonduktor memberi implikasi besar terhadap perdagangan, pelaburan dan geopolitik pada tahun-tahun akan datang.
Liew berkata usaha membangunkan hubungan industri secara setara dalam Malaysia juga penting.
"Sebagai contoh, industri semikonduktor yang matang di Malaysia perlu menjadi asas untuk industri automotif yang sedang membangun, termasuk kenderaan elektrik (EV) dan teknologi pertanian," katanya.
Beliau berkata Malaysia berada di ambang awal pertumbuhan kedua ekonomi yang dibina berlandaskan pembangunan model produktiviti tinggi, kemahiran tinggi dan gaji tinggi.
Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan enam GLIC antaranya Khazanah komited untuk melabur RM120 bilion menerusi pelaburan langsung domestik (DDI) bagi tempoh lima tahun akan datang dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi termasuk sektor peralihan tenaga dan pembuatan termaju, terutamanya semikonduktor.
-- BERNAMA
#Malaysia #teknologi #strategik #Liew Chin Tong