Malaysia perlu manfaatkan kepakaran dalam industri halal - PM
Bernama
Ogos 17, 2023 15:28 MYT
Ogos 17, 2023 15:28 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memanfaatkan kepakaran dalam industri halal dimilikinya, yang kini ditagih banyak negara luar, berikutan potensi besar dalam ekonomi dunia yang boleh mencecah trilion ringgit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ketika ini banyak negara luar yang meminta bantuan daripada negara dalam menjayakan industri berkenaan di negara masing-masing, memandangkan Malaysia memiliki badan pensijilan halal bertaraf dunia, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya perkara ini dibuktikan dengan minat dan kesungguhan pemimpin-pemimpin negara luar yang ditemuinya dalam lawatan rasminya sebelum ini yang menyatakan perkara itu kepadanya, termasuk daripada Laos, Vietnam, Kemboja dan China.
"Kita harus manfaatkan supaya gabungan Jakim dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) lebih mantap dan diselaraskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI seta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi di sini hari ini.
Ketika ini, HDC akan membantu syarikat atau produk yang mendapat pengiktirafan sijil halal oleh Jakim untuk mempromosikan barangan ke peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata terdapat beberapa cabaran yang harus ditangani dalam industri halal, antaranya memastikan kecepatan dan efisien dalam pengeluaran sijil halal.
"Mesti betul-betul kita jamin halal kerana kita bertanggungjawab pada Allah SWT dan mesti cepat kelulusannya, jangan guna alasan halal itu untuk melambatkan kelulusan," katanya.
-- BERNAMA