Malaysia perlu main peranan kembalikan hak rakyat Palestin - ABIM
Fareez Azman
Oktober 9, 2023 00:35 MYT
Oktober 9, 2023 00:35 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus memainkan peranan sebagai negara yang lantang bersuara demi mengembalikan hak rakyat Palestin di mata dunia.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menegaskan, advokasi naratif yang benar perlu terus menjadi perjuangan Malaysia dalam membantu rakyat seagama di Palestin.
"Kita perlu menyebarkan satu naratif yang jelas, bila disebut kebangkitan Hamas, ia juga kebangkitan rakyat Palestin. Dunia barat cukup untuk menambah kekeliruan kerana mereka sering melabelkan Hamas ini sebagai kumpulan pengganas.
"Hamas mewakili rakyat Palestin. Jadi bila kita bicara soal ini, ia satu kebangkitan rakyat yang mahukan ia dikembalikan selepas sekian lama ditindas, lebih 60 tahun. Penindasan ini bukan kecil tetapi diiktiraf masyarat dunia," katanya ketika mengulas peperangan di antara pejuang Hamas dan Israel ketika ini.
Ujarnya, badan bukan kerajaan juga perlu memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam penganjuran forum mahupun simposium mengenai hak rakyat Palestin.
"Bila disebut peranan Malaysia di Palestin, kita harus memainkan peranan advokasi di peringkat tempatan dan antarabangsa, sudah pasti rakyat Malaysia sedar kekejaman Israel cuma ia perlu ditingkatkan lagi agar generasi akan datang konsisten dalam isu memahami penindasan rejim zionis.
"Pada masa sama, kerajaan Malaysia, NGO harus sentiasa bersuara di peringkat antarabangsa dalam forum, symposium dengan kuasa kuasa luar. Kita harus bersuara untuk memngembalikan hak rakyat Palestin," katanya.
Sementara itu, Jurucakap Sekretariat Palestin Malaysia, Sheikh Alsaggaf pula berpendapat, peperangan tercetus atas perjuangan kemerdekaan rakyat Palestin selama lebih 75 tahun.
"Kezaliman itu tidak dapat disembunyikan lagi, penafian hak rakyat Palestin tidak dapat disembunyikan. Kalau kita terus kata tak boleh menyokong, ini bukan satu hal wajar, setelah 75 tahun pelbagai solusi telah dicuba tapi gagal mengembalikan hak rakyat Palestin.
"Saya rasa ini menunjukkan rakyat Palestin berhasrat mengangkat senjata kembali mendapatkan hak dan tanah air mereka," katanya.
Mereka berkata demikian dalam program Agenda AWANI 'Perang Palestin-Israel, Dunia Wajib Peduli' pada Isnin.