Malaysia perlu lebih terlibat dalam pembuatan dasar peringkat rantau dan global - Shahril Hamdan
Israr Khalid
Mei 23, 2022 07:17 MYT
Mei 23, 2022 07:17 MYT
DAVOS: Malaysia tidak boleh lagi terus asyik berbicara tentang hal-hal remeh dalam negara tetapi perlu memainkan peranan yang lebih aktif di pentas antarabangsa.
Tegas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan, kita perlu berfikirkan besar dan harus lebih terbabit dalam perbincangan dan pembuatan keputusan di peringkat rantau dan global supaya ia dapat memberi kesan kepada negara.
Katanya, kita sudah terlalu lama dan masih sibuk ‘bertekak’ tentang persaingan antara individu, parti politik yang entah bila akan berkesudahan.
“Dalam berita sehari-harian apa yang kita dengar? Kita cakap tentang persaingan individu, parti itu kata parti ini, itu memang realiti yang kita kena lalui tetapi tidak bolehlah 90 peratus masa kita untuk itu.
“Bila kita bercakap tentang kepimpinan yang baik pun takkanlah kita bermain dalam konteks siapa yang lebih mendapat liputan media melalui gambar yang dilihat mesra akar umbi dan itu menjadi satu-satunya kayu ukur elok atau tidak kepimpinan di Malaysia?”
Lanjutnya, perbincangan kita masih belum terarah kepada bagaimana untuk membentuk Malaysia negara yang lebih baik dalam masa 10, 20 atau 30 tahun yang akan datang dan itu harus dibudayakan.
Justeru tegas Shahril, kita perlu terlibat dalam dialog rantau serta global dan tidak boleh lagi bercakap tentang isu-isu dalam negara sahaja.
Beliau berkata demikian di Davos, Switzerland dalam program Agenda AWANI khas sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 bersama hos, Ashwad Ismail. Tonton di sini: