Malaysia perlu lebih banyak pakar neurologi - Dr Lee Boon Chye

Firdaus Azil
Ogos 17, 2018 15:41 MYT
Ketika ini hanya terdapat 105 pakar dalam bidang tersebut di seluruh negara, dan kerajaan berharap agar dapat melihat pertambahan sekitar 40 hingga 50 lagi. - Gambar hiasan
Para graduan jurusan perubatan digalakkan untuk memilih bidang pembedahan neurologi bagi memenuhi keperluan di negara ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Beliau berkata, setakat ini, hanya terdapat 105 pakar dalam bidang tersebut di seluruh negara, dan kerajaan berharap agar dapat melihat pertambahan sekitar 40 hingga 50 lagi, tanpa menyebut tempoh masa yang jelas.
“Keperluan untuk perkhidmatan neurosurgical ini memang meningkat, dan sehingga hari ini kita masih tidak dapat memenuhi kesemua keperluan tersebut, dan kita mensasarkan supaya kalau boleh kita ada tambahan 40 hingga 50 neurosurgeon (pakar bedah saraf).
“Jadi kita harap kita boleh tambah, khususnya di kawasan di luar daripada Kuala Lumpur seperti Melaka, Seremban, dan Sibu, di tempat di mana ada kemalangan yang banyak , kecederaan trauma banyak berlaku di bahagian otak,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Persekutuan Persatuan Neurologi 2018, di ibu negara, hari ini.
Dr Lee, yang juga ahli Parlimen Gopeng, berharap lebih ramai graduan perubatan dan doktor muda dapat memilih laluan sebagai pakar neurologi supaya khidmat mereka dapat diberikan di kawasan lain yang lebih memerlukan selain Kuala Lumpur.
Di masa akan datang, tambahnya lagi, kerajaan melihat nisbah yang ideal bagi pakar neurologi kepada masyarakat ialah 1:200,000.
#Dr Lee Boon Chye #Kementerian Kesihatan #neurologi #Timbalan Menteri #Timbalan Menteri Kesihatan
;