Malaysia perlu laksanakan sekatan dalam media baharu - KP Penerangan
Bernama
Oktober 5, 2015 16:40 MYT
Oktober 5, 2015 16:40 MYT
Semua negara termasuk Malaysia perlu melaksanakan sekatan dalam proses penggunaan media baharu, kata Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
Kemunculan internet dan media sosial ditambah dengan proses globalisasi menyebabkan budaya dan gaya hidup asing memberi kesan ke atas suasana dalam negeri dan Malaysia tidak terkecuali dalam fenomena baharu ini, katanya.
"Walaupun banyak kesan positif berhubung media baharu, kita semua sedar perkembangan terkini di mana media baharu telah disalahgunakan.
"Dengan latar belakang bertentangan inilah negara-negara termasuk Malaysia perlu melaksanakan sekatan," katanya dalam ucap tama beliau di persidangan antarabangsa dua tahun sekali mengenai Media dan Komunikasi (Mention 2015): Globalisasi Media dan Transformasi Negara: Realiti, Cabaran dan Aspirasi di sini hari ini.
Persidangan dua hari, bermula hari ini, bertujuan bagi membina kerjasama dan mewujudkan satu rangkaian cendekiawan dan kepakaran ke arah kecemerlangan akademik dan penyelidikan dalam kalangan ahli akademik dan mereka yang gemar mencari pengetahuan.
Sebanyak 70 kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan itu.
Ibrahim berkata Mention 2015, satu perkongsian pintar antara Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Penerangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyediakan platform berharga untuk wacana berhubung media dan komunikasi.
Wacana berhubung media dan komunikasi diperlukan secara berterusan memandangkan perubahan dan perkembangan pesat dunia teknologi mengubah cara orang ramai berkomunikasi, katanya.
Ibrahim berkata, semua kertas kerja yang dibentangkan di Mention 2015 akan diterbitkan dalam bab-bab buku dan semakan jurnal.