Malaysia perlu kekalkan paksi ASEAN - Sultan Nazrin

Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2021 12:59 MYT
Adalah penting bagi Malaysia dan ASEAN bekerjasama dengan semua negara untuk keamanan dan kemakmuran bersama, titah Sultan Nazrin. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berusaha bersungguh-sungguh memperkukuhan ASEAN sebagai sebuah pertubuhan dalam mewujudkan semula persaingan geopolitik antara kuasa besar, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Penaung Diraja Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) itu bertitah, adalah penting bagi Malaysia dan ASEAN bekerjasama dengan semua negara untuk keamanan dan kemakmuran bersama, walaupun sesetengah negara anggota mungkin terdedah kepada pujukan atau tekanan condong ke satu sisi yang lain.
“Malaysia dan ASEAN kekal neutral pada masa lalu. Mereka telah menjauhkan diri daripada konfrontasi dan konflik tersebut.
“Adalah menjadi harapan besar bahawa persaingan (antara kuasa besar) kekal aman dan tenteram, dan tidak runtuh ke arah konfrontasi terbuka,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam ucapannya bertajuk "Membentuk Generasi Baharu Diplomat" pada sambutan ulang tahun ke-30 IDFR di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, Malaysia juga harus terus mempertingkatkan usaha sama strategik dengan negara-negara yang sealiran khususnya di rantau ini, untuk memanfaatkan peluang baharu dalam persekitaran yang sangat kompetitif di peringkat global.
Sehubungan itu, baginda berpandangan, Malaysia dan negara jiran Asia Tenggara telah berjaya mengoptimumkan keupayaan politik dan diplomatik mereka sebagai kuasa kecil hingga pertengahan.
“Memandangkan Malaysia menghampiri giliran sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Kementerian Luar harus merangka keutamaan yang terbaik dengan menggalakkan kesejahteraan serantau dan nasional dengan sokongan rakan serantau,” katanya.
Baginda bertitah diplomasi Malaysia juga mesti komited untuk meningkatkan usahanya bekerjasama dengan institusi antarabangsa, kerajaan dan bukan kerajaan lain bagi membentuk negara sejagat yang lebih aman, adil dan berperikemanusiaan.
Dalam ucapannya itu, Sultan Nazrin juga bertitah, institusi seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) adalah penting untuk menggalakkan kedaulatan undang-undang dalam hubungan antara negara.
Manakala pertubuhan kemanusiaan seperti Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) membentuk sebahagian daripada aturan peringkat antarabangsa yang berusaha untuk mendisiplinkan impak peperangan dan meringankan penderitaan mereka yang terjejas.
#Malaysia #ASEAN #Sultan Nazrin Muizuddin Shah #Institut Diplomasi dan Hubungan Luar
;