Malaysia perlu jalin kerjasama dengan negara lain untuk tambah baik ilmu Al-Quran - Syeikh Ali

Bernama
Oktober 23, 2022 04:40 MYT
Syeikh Dr Mohamed Ali Atafay (kiri) dan Dr Maria Ulfa merupakan antara hakim bagi Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62 kali ini. - Foto Twitter BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia boleh menjalin kerjasama dengan negara Islam lain dalam menambah baik ilmu al-Quran, kata seorang daripada hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 semalam.
Syeikh Dr Mohamed Ali Atafay berkata umat Islam di Malaysia boleh mendalami 'manhaj' atau metodologi menghafal kitab suci itu yang diguna pakai di negara Islam lain untuk meningkatkan penguasaan ilmu tersebut.
Beliau menzahirkan rasa kagum apabila mengetahui ilmu hafalan al-Quran begitu dekat di hati umat Islam di negara ini kerana ia diterapkan sejak usia muda.
"Bahkan bila saya berjumpa orang ramai di negara ini, mereka tahu bahawa saya berada di Malaysia untuk menjadi hakim MTHQA, jarang-jarang saya jumpa sambutan sebegini di negara lain," katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi.
Syeikh Mohamed Ali, yang berasal dari Maghribi, berkata seramai 36 qari dari seluruh dunia telah terpilih untuk menyertai pertandingan MTHQA pada tahun ini.
Beliau berkata antara kriteria utama yang difokuskan ialah penguasaan tajwid, kefasihan dalam sebutan ayat, maqamat atau taranum serta kemerduan alunan suara yang ditampilkan peserta.
"Kebiasaannya yang memenangi pertandingan di Malaysia berpotensi besar memenangi pertandingan lain kerana Malaysia sudah lama menganjurkan pertandingan ini dan saya yakin barisan hakim juga amat berpengalaman luas dalam pengkhususan bidang masing-masing seperti taranum, tajwid serta qiraat.
"Saya berharap Malaysia dapat meneruskan penganjuran supaya negara ini terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman dan konspirasi selain melahirkan lebih ramai hufaz yang akan menjadi pelapis pada masa akan datang," katanya.
Dr Maria Ulfa, yang merupakan wanita pertama menjadi hakim MTHQA, pula memuji keterbukaan Malaysia dalam memilih panel bagi mengadili pertandingan itu.
Beliau berkata penglibatan dua hakim wanita termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff menunjukkan Malaysia mengamalkan kesaksamaan jantina yang harus dicontohi.
"Dahulu walaupun ramai peserta wanita tetapi tidak ada hakim wanita. Ini membuktikan Malaysia telah ke hadapan sebagai sebuah negara," katanya yang pernah menjuarai MTHQA pada 1980.
MTHQA 2022 bakal melabuhkan tirai hari ini dan orang ramai yang ingin menyaksikan pertandingan itu dijemput hadir secara fizikal di Dewan Pleno, KLCC atau menonton siaran langsung menerusi RTM TV1 dan media sosial JAKIM.
-- BERNAMA
#Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran #Syeikh Dr Mohamed Ali Atafay #kerjasama dengan negara Islam #metodologi menghafal al-Quran
;