Malaysia perlu ikut langkah Jepun ketatkan sekatan perjalanan dari China - Pakar Kesihatan Awam
Rahimah Abdullah
Disember 28, 2022 16:13 MYT
Disember 28, 2022 16:13 MYT
KUALA LUMPUR : Malaysia perlu mengikut langkah Jepun yang mengetatkan sekatan perjalanan terhadap pelancong dari China susulan peningkatan kes positif COVID-19 di negara republik itu.
Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, negara perlu melakukan langkah pencegahan awal bagi mengekang kes COVID-19 yang berlaku pada permulaan pandemik daripada berulang.
"Saya berpendapat, sama seperti apa yang dilaksanakan seperti di Jepun untuk mengekang kes-kes yang positif dan sebagainya. Ini sebab berdasarkan pengalaman kita, pada awal pandemik COVID-19 dahulu.
"Pada ketika itu, langkah berjaga-jaga dan langkah kesiapsiagaan dari semua fakta atau tempat telah diambil dengan begitu baik sekali. Namun waktu itu dari segi pergerakan antarabangsa, walaupun disebut tetapi tidak dilaksanakan. kita tahu kes awal yang dilaporkan ialah kes pelancong dari China yang masuk dari Singapura.
"Jadi kalau kita dapat dilaksanakan di peringkat awal jauh lebih baik daripada kita menunggu sehingga saat akhir, sehingga membawa kepada akibat seperti yang berlaku pada pandemik lalu. Jadi kalau kita boleh lakukan lebih awal, itu adalah lebih baik," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr. Malina berkata, Malaysia juga perlu menggerakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap dos penggalak COVID-19 terutama kalangan mereka yang berisiko.
"Pada masa sama, saya mohon kemudahan perubatan Paxlovid dipanjangkan juga di institut-institut pengajian tinggi atau tempat pengajian.
"Kalau kita dapat tingkatkan pemberian vaksin dan langkah berjaga-jaga, kemungkinan yang berlaku dulu tidak akan berulang," ujarnya.