Malaysia perlu hasilkan produk hijau getah untuk kekal sebagai peneraju

Bernama
Mac 28, 2023 05:00 MYT
Keseluruhan permintaan getah yang berkurangan sedikit pada tahun lepas, dianggarkan pulih secara sederhana pada 2.6 peratus pada 2023. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bertindak memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju pengeluaran sarung tangan getah dunia dengan menghasilkan lebih banyak tayar mesra alam dan produk hijau getah untuk kekal maju serta mendahului bagi tempoh jangka panjang.
Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata LGM dan agensi lain berkaitan juga perlu menyokong industri bagi memastikan Malaysia dapat mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pengeluaran sarung tangan getah, lateks dan produk kejuruteraan getah.
Malah, bersandarkan kekuatan itu, Malaysia berupaya terus mendahului bukan hanya dari segi pengeluaran produk tinggi getah dengan nilai tambah tetapi juga produk mampan, sekali gus memastikan kelangsungan industri tersebut, katanya dalam program 'The Brief' Bernama TV yang disiarkan baru-baru ini.
Zairossani berkata impak daripada faktor seperti ketegangan geopolitik Rusia-Ukraine, tekanan kos tenaga, kenaikan kadar faedah, keadaan kewangan yang diperketat di kebanyakan rantau selain gangguan rantaian bekalan terbukti memberi cabaran besar dan menjadikan 2023 sebagai tahun sukar bagi industri tersebut.
Bagaimanapun, katanya, sektor getah jelas meraih manfaat daripada pandemik COVID-19 yang telah melonjakkan permintaan sarung tangan getah Malaysia pada 2021 dengan nilai eksport industri mencecah RM81 bilion - angka tertinggi dalam sejarah industri.
Selepas mencatat prestasi kukuh pada 2021, industri itu perlu selaras dengan aspek seperti keadaan penawaran dan permintaan, termasuk penurunan mendadak nilai eksport sarung tangan daripada RM54.8 bilion pada 2021 kepada RM19 bilion pada 2022 berikutan lambakan bekalan di pasaran.
Sarung tangan getah bagaimanapun masih digunakan dalam sektor perubatan, pembersihan dan perkhidmatan makanan yang menyaksikan produk itu kekal sebagai penyumbang utama atau kira-kira 40 peratus kepada pendapatan eksport industri.
Selain daripada sarung tangan, eksport produk lateks adalah seperti produk busa, kateter dan kondom, manakala eksport produk getah pula meliputi tayar, barangan getah am, komponen automotif, tapak getah tayar, galas struktur dan barangan atau peralatan sukan.
Biarpun dilanda cabaran yang ada, Zairossani optimis bahawa industri terbabit akan mempamerkan prestasi lebih positif berbanding tempoh sebelum pandemik dengan mencatat pertumbuhan lebih baik bagi tahun ini berbanding 2022.
Jumlah keseluruhan permintaan getah yang berkurangan sedikit pada tahun lepas, dianggarkan pulih secara sederhana pada 2.6 peratus pada 2023, didorong oleh pembukaan semula China yang juga pasaran eksport terbesar Malaysia.
Menyentuh prospek masa depan, beliau berkata Malaysia perlu menekankan usaha menguasai pasaran-pasaran baharu di negara-negara sedang pesat membangun.
Malah, katanya, pelbagai langkah sedang diambil bagi memanfaatkan permintaan terhadap produk getah, dengan kalangan pekebun kecil turut bertindak menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berubah dalam usaha meningkatkan hasil serta keuntungan masing-masing.
"Malaysia merupakan pengeluar produk getah berkualiti tinggi. Oleh itu, kita perlu berusaha memanfaatkan kekuatan ini kerana promosi serta pengkomersialan produk getah itu juga amat penting," katanya.
Beliau berkata, sejak tiga tahun lepas, kalangan pekebun kecil telah terjejas bukan saja atas faktor pandemik, tetapi ketidaktentuan harga dengan harga rendah menjejaskan pendapatan mereka.
Antara inisiatif utama dasar bagi menangani isu ini adalah satu mekanisme atau insentif tertentu dalam memastikan pekebun kecil akan terus menoreh bagi bekalan sektor hiliran.
Zairossani berkata, pada masa ini, Malaysia sedang mengalami kekurangan bahan mentah dan atas alasan itu, inisiatif utama adalah untuk memastikan sektor huluan kekal aktif dan menghasilkan getah berdasarkan permintaan daripada sektor hiliran.
Susulan itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa insentif bagi membantu pekebun kecil termasuk insentif pengeluaran lateks dan insentif pengeluaran getah bagi menyokong harga supaya mereka berupaya menoreh dan seterusnya meningkatkan pendapatan.
"Kita juga terus berusaha memastikan pemindahan teknologi terbaik untuk industri, menggalakkan penggunaan klon getah yang memberi pulangan tinggi serta sistem penorehan berkesan yang menggunakan teknologi perangsang lateks bagi meningkatkan produktiviti pekebun kecil," katanya.
Pada masa sama, LGM juga menggalakkan penggunaan teknologi solar, termasuk usaha integrasi tanaman bagi membolehkan pekebun kecil menjana pendapatan tambahan.
Zairossani juga berkongsi jaminan bahawa LGM akan terus memenuhi matlamat utama bagi membantu pembangunan serta pemodenan industri getah dengan memastikan aspek kemampanan dan daya saing, meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan pengeluaran bahan mentah, mempertingkat nilai eksport dan penghasilan produk serta perkhidmatan nilai tambah.
-- BERNAMA
#Lembaga Getah Malaysia #mesra alam #COVID19 #Sarung tangan
;