Malaysia perlu giat promosi usahawan tempatan tembusi pasaran halal global - Zahid

Bernama
Julai 6, 2023 15:37 MYT
Ahmad Zahid Hamidi berkata usahawan Malaysia perlu keluar daripada kepompong pasaran domestik dengan menyasarkan pasaran lebih besar di luar negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berada di barisan paling hadapan dalam mempromosi usahawan tempatan agar mereka mampu menembusi pasaran industri halal global yang dijangka mencecah AS$5 trilion menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usahawan Malaysia perlu keluar daripada kepompong pasaran domestik dengan menyasarkan pasaran lebih besar di luar negara dan tidak menghasilkan produk hanya untuk penggunaan tempatan sahaja.
"Jangan hanya ini (industri usahawan) menjadi subsistence economy atau ekonomi saradiri. Lihat pasaran yang lebih besar seperti China dan India yang (masing-masing) mempunyai penduduk lebih satu bilion dan bantu kukuhkan ekonomi negara," katanya ketika berucap melancarkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada masa ini Malaysia hanya menyumbang kurang dua peratus kepada industri pasaran halal global yang bernilai AS$3 trilion pada 2021.
Mengenai pelan yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, beliau berkata, ia merupakan usaha bagi mendaftarkan usahawan mikro kecil dan sederhana untuk memastikan pembiayaan, bimbingan, pemantauan dan tindakan susulan dapat dilakukan.
Menurutnya, pelan berkenaan akan memberikan impak bermakna dalam usaha mendaftarkan perniagaan di Malaysia serta menggalakkan lebih ramai rakyat untuk memilih keusahawanan sebagai kerjaya.
"Ini agar keusahawanan bukan (setakat) kerja sambilan tapi kerjaya formal sepenuh masa," katanya.
Ahmad Zahid berkata antara strategi dan inisiatif yang digariskan di bawah pelan tersebut termasuklah memberi perlindungan undang-undang serta akses kepada jaringan keselamatan sosial yang sewajarnya terutamanya dalam tempoh krisis.
Sementara itu Ewon dalam ucapannya berkata pelan yang dibangunkan oleh kementeriannya itu dilihat berupaya melonjakkan kembali prestasi perniagaan pasca pandemik COVID-19 dan secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
"Melalui enam strategi yang disokong oleh 20 inisiatif, pelan ini menggalakkan usahawan informal mendaftarkan perniagaan secara sukarela sekali gus mendidik usahawan agar lebih beretika dan berintegriti tinggi dalam menjalankan operasi perniagaan," katanya.
Beliau berkata, usahawan informal terdiri daripada individu atau kumpulan yang menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mana-mana badan yang sama taraf dengannya seperti badan profesional atau pejabat daerah di Malaysia Timur.
"Bagi memformalkan perniagaan, usahawan perlu mendaftarkan peniagaan mereka dengan SSM dan memperoleh pelesenan yang diperlukan bagi operasi perniagaan," kata Ewon.
-- BERNAMA
#Zahid Hamidi #pasaran halal #pasaran luar negara #usahawan tempatan
;