Malaysia perlu buat transformasi untuk keluar dari perangkap berpendapatan pertengahan - PM Muhyiddin

Bernama
Mac 5, 2021 13:25 MYT
Dengan pertumbuhan produktiviti kini tidak bergerak, pendapatan per kapita tahunan telah berhenti untuk hampir satu dekad, sekali gus menunjukkan Malaysia terjerat dalam perangkap berpendapatan pertengahan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berubah menjadi peserta pengeksport global, mengembangkan keupayaan pembuatannya serta mewujudkan syarikat multinasional (MNC) tempatan untuk keluar dari perangkap berpendapatan pertengahan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut perdana menteri, dalam dekad sebelum Krisis Kewangan Asia 1998, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia secara kumulatif ialah pada 8.4 peratus setiap tahun, tetapi telah menguncup kepada 4.6 peratus dalam dua dekad berikutnya sejak itu.
"Dengan pertumbuhan produktiviti kini tidak bergerak, pendapatan per kapita tahunan telah berhenti pada sekitar US$10,000 (US$1=RM4.068) untuk hampir satu dekad, sekali gus menunjukkan Malaysia terjerat dalam perangkap berpendapatan pertengahan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian secara maya Forum Ekonomi Belia 2021 bertemakan "A Brave New World'' hari ini.
Bercakap mengenai keperluan untuk berubah menjadi peserta pengeksport global dalam usaha melepaskan diri dari perangkap berpendapatan pertengahan, Muhyiddin berkata kalau mengikut sejarah, kebanyakan negara menjadi kaya dengan belajar menghasilkan produk baharu dengan nilai yang lebih tinggi untuk dieksport.
"Justeru, usahawan dengan cita-cita global adalah penting untuk memacu pertumbuhan," ujar perdana menteri.
Muhyiddin berkata Malaysia juga perlu mengembangkan keupayaan pembuatannya untuk membuat produk yang lebih kompleks dan canggih.
"Berdasarkan kepada ''Economic Complexity Index", bahkan dengan satu peningkatan lencongan standard boleh meningkatkan pertumbuhan KDNK Malaysia antara 0.7 peratus dan 1.6 peratus setahun."
Menyentuh mengenai mewujudkan MNC tempatan Malaysia, Muhyiddin berkata langkah itu amat penting kerana hasil daripada MNC tempatan untuk pertumbuhan ekonomi sangat tinggi.
"Sebagai contoh, dilaporkan bahawa syarikat gergasi global Samsung dan Hyundai secara kolektif mendorong pertumbuhan 30 peratus daripada KDNK Korea Selatan," katanya.
Sementara itu, perdana menteri juga berkata Malaysia perlu menerapkan pendekatan "moon-shot" untuk mewujudkan perusahaan domestik yang berdaya saing atau kompetitif dalam teknologi terkini.
"Permulaan niaga yang anda bina hari ini boleh dan seharusnya menjadi Amazon, Apple, atau Tesla berikutnya," kata beliau.
-- BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #MNC #Keluaran Dalam Negara Kasar #KDNK #Syarikat multinasional #Malaysia #PM #A Brave New world #Belia
;