Malaysia perlu bayar RM94.08 juta untuk sertai fasiliti COVAX - Khairy

Firdaus Azil
November 19, 2020 11:34 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, bayaran itu akan meliputi bayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko atau 'risk sharing guarantee'- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan menganggarkan bayaran sebanyak RM94.08 juta untuk penyertaan Malaysia ke dalam inisiatif COVAX, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata bayaran itu akan meliputi bayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko atau 'risk sharing guarantee'.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata penyertaan Malaysia ke dalam fasiliti COVAX bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi Malaysia.
"Setelah dibuat proses semakan, jemaah menteri memutuskan pada 13 November supaya Malaysia melalui KKM memuktamadkan penyertaan dalam fasiliti COVAX dengan tandatangani perjanjian 'optional purchase agreement.
Buat masa ini, KKM dan Gavi sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian tersebut dan keputusan ini akan melibatkan kos merangkumi bayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko bernilai RM94 juta," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurutnya, jaminan akses awal bekalan vaksin COVID-19 adalah penting untuk melindungi rakyat Malaysia daripada virus dan merancakkan semula ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global.
Katanya, penyertaan Malaysia ke dalam fasiliti COVAX bakal beri jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi Malaysia.
#Khairy Jamaluddin #Dewan Rakyat #KKM #COVID-19 #vaksin #COVAX #GAVI #risk sharing guarantee #populasi Malaysia
;