Malaysia perkukuh peranan ICT melalui penyertaan ADGMIN3
Astro Awani
Februari 10, 2023 21:03 MYT
Februari 10, 2023 21:03 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan peranan teknologi komunikasi maklumat (ICT) melalui penyertaan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-3 (ADGMIN3).
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata penyertaan tersebut pemacu utama transformasi ekonomi dan sosial ASEAN pasca COVID-19.
Jelas Fahmi, beliau telah mengetuai Delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan yang diadakan pada 9 dan 10 Februari lalu di Boracay, Filipina.
"Malaysia aktif memberikan sumbangan kepada agenda pembangunan sektor telekomunikasi dan teknologi digital di rantau ASEAN melalui pelaksanaan projek-projek yang digariskan dalam Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025).
"Mesyuarat juga telah memperakukan Deklarasi Boracay.
"Deklarasi Boracay secara dasarnya menggariskan komitmen negara-negara anggota ASEAN pada tahun 2023 bagi memantapkan jalinan kerjasama ke arah pembangunan sektor telekomunikasi dan teknologi digital melalui pelaksanaan projek-projek selari dengan ADM2025," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun menegaskan segala persetujuan yang dibuat di dalam mesyuarat tersebut bukan melambangkan pendirian Malaysia mengiktiraf Majlis Pentadbiran Negara (SAC) sebagai Kerajaan Myanmar yang sah.
"Malaysia sentiasa menekankan pendirian agar pihak SAC perlu menyegerakan pelaksanaan untuk mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar," katanya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek turut mengetuai Delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM) pada 6 hingga 8 Februari di lokasi yang sama.