Malaysia perkukuh kerjasama ASEAN banteras jenayah siber
Bernama
Mac 5, 2025 17:02 MYT
Mac 5, 2025 17:02 MYT
Malaysia perhebat usaha membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan siber menerusi kerjasama strategik dengan beberapa negara. - Gambar fail/Japen
KUALA LUMPUR: Malaysia memperhebatkan usaha membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan siber menerusi kerjasama strategik dengan beberapa negara asing dalam proses ekstradisi dan Triti Ekstradisi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata antara negara yang terlibat termasuk Indonesia dan Thailand, bagi melancarkan proses penyerahan penjenayah buruan membabitkan pelbagai jenis jenayah termasuk penipuan siber.
"Di bawah platform ASEAN seperti Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC), Malaysia memainkan peranan penting dengan mengetuai beberapa kumpulan kerja iaitu dalam bidang lanun laut, penyeludupan manusia dan pengubahan wang haram.
"Kedua-dua platform ini berperanan untuk membahas segala isu jenayah rentas sempadan, pertukaran maklumat dan penyusunan strategi kolaborasi antara negara-negara anggota ASEAN dalam menangani isu-isu rentas sempadan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol berhubung kerjasama yang diwujudkan oleh kerajaan dengan negara-negara ASEAN lain untuk menangani jenayah penipuan siber, perjudian dan aktiviti jenayah rentas sempadan.
Shamsul Anuar berkata beberapa mesyuarat bilateral turut diadakan menerusi kerjasama Polis ASEAN (ASEANAPOL) untuk perkongsian maklumat mengenai sindiket jenayah dan operasi dapat dibuat mengikut dapatan maklumat yang diperoleh dari semasa ke semasa.
"Keberhasilan kerjasama ini boleh dilihat melalui operasi membanteras jenayah rentas sempadan yang dilaksanakan antara pihak PDRM dan pasukan polis negara asing. Pertukaran maklumat antara negara-negara ASEAN dapat menyekat aktiviti jenayah siber dan rentas sempadan lebih cepat," katanya.
Malaysia juga menjalin kerjasama antarabangsa melalui memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian dengan negara seperti Amerika Syarikat dan China serta sedang merundingkan beberapa MoU baharu dengan negara-negara strategik.
Beliau berkata Malaysia kini mempunyai 11 Triti Ekstradisi termasuk dengan Indonesia, Amerika Syarikat, Thailand, Pakistan dan Iran bagi membolehkan penjenayah buruan diekstradisi serta dihadapkan ke muka pengadilan.
Menjawab soalan tambahan Rita Sarimah mengenai kemungkinan Malaysia menandatangani MoU dengan Myanmar bagi membanteras sindiket penipuan siber dan penipuan pekerjaan, Shamsul Anuar berkata Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan sesi libat urus dengan Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos untuk memperkukuh perkongsian maklumat serta penyelarasan misi menyelamat mangsa.
"Kita mengenal pasti sindiket yang menjadi dalang, termasuk ejen pekerjaan di Malaysia selain menjalankan siasatan komprehensif," katanya.
Beliau berkata Malaysia turut meneruskan pembangunan perkongsian data maklumat dan menggunakan mekanisme antarabangsa sedia ada termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) dan ASEANAPOL.
"PDRM telah tubuh saluran melalui Interpol dan ASEANAPOL yang boleh berfungsi sebagai platform berkesan untuk berkongsi maklumat, membincangkan cabaran-cabaran bersama dan menyelaras usaha untuk memerangi penipuan pekerjaan dengan agensi-agensi penguatkuasa antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA