Malaysia perkenal NIMP 2030, atasi penyahindustrian pramatang
Azib Zikry
Jun 13, 2024 11:58 MYT
Jun 13, 2024 11:58 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) sebagai usaha strategik untuk mengatasi masalah penyahindustrian pramatang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelancaran itu bagi mengatasi kemajuan ekonomi Malaysia yang terhalang sejak beberapa dekad terakhir.
Tengku Zafrul menyatakan bahawa Malaysia ketinggalan di belakang ekonomi maju seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, dan Singapura dalam aspek kompleksiti ekonomi.
"Ini adalah hasil daripada penyahindustrian pramatang yang menyebabkan penglibatan Malaysia dalam rantaian nilai pembuatan tertumpu pada segmen nilai rendah.
"Sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor menunjukkan potensi besar untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global, namun masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.
"Pertumbuhan produktiviti buruh kita juga ketinggalan di belakang negara seperti Singapura, Vietnam, Thailand, dan Filipina.
"Kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah perlu dihentikan dengan pelaburan dalam teknologi dan inovasi," kata Tengku Zafrul.
Beliau menekankan bahawa perubahan dan pembaharuan adalah penting dan meskipun menakutkan, Malaysia pernah melakukannya sebelum ini dan mampu melakukannya sekali lagi.
Kunci kejayaan sentiasa terletak pada kerjasama sektor swasta dengan kerajaan melalui pendekatan keseluruhan negara.
"Pengenalan NIMP 2030 bertujuan untuk memandu industri Malaysia ke arah kemajuan teknologi, kelestarian, dan integrasi yang lebih besar ke dalam rantaian nilai global.
"Kerajaan mengakui kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan keperluan untuk meningkatkan sumbangan mereka kepada sektor ini dan ekonomi keseluruhan.
"Usaha-usaha ini dijangka akan meningkatkan tahap pendapatan, memberi manfaat kepada rakyat Malaysia di semua segmen pendapatan," katanya ketika menyampaikan ucap tama perasmian pada Simposium Sasana Bank Negara Malaysia 2024 melalui rakaman video di sini, pada Khamis.
Menurut Tengku Zafrul, sektor-sektor yang disasarkan juga bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi.
"Perubahan struktur yang dirancang oleh NIMP adalah kritikal dan diperlukan untuk memastikan manfaat daripada aktiviti ekonomi tambahan benar-benar dirasai oleh rakyat.
"Pendekatan Malaysia kali ini adalah berdasarkan misi, dengan fokus pada empat misi utama: meningkatkan kompleksiti ekonomi; mempertingkatkan teknologi dengan teknologi terbaik; menekan sasaran sifar bersih dan mempromosikan keselamatan ekonomi, ketahanan, dan keterangkuman.
"Transformasi ini mesti merangkumi semua sektor, dan setiap industri mesti menyumbang untuk mendorong pembaharuan ekonomi kita ke hadapan.
"Daripada segi pembiayaan, kerajaan menganggarkan sejumlah RM95 bilion pelaburan diperlukan dalam tempoh tujuh tahun akan datang, dengan peruntukan RM8.2 bilion daripada Kerajaan," tambah beliau.
Tengku Zafrul menyeru sektor swasta memainkan peranan penting dalam menggerakkan misi-misi NIMP.
Beliau yakin bahawa pembiayaan inovatif mampu memacu industri baru dan menyarankan agar sektor perbankan dan kewangan memanfaatkan peluang ini untuk mencipta perubahan yang berkesan.
"Saya yakin bahawa bersama-sama, kita dapat mencapai sasaran ini terutama apabila pembiayaan inovatif mampu memacu industri baru.
"Ini boleh dilakukan dengan mengintegrasikan dimensi baru dalam cara bank dan sektor kewangan menilai risiko, terutamanya yang berkaitan dengan teknologi baru, iklim, dan pertimbangan ESG," katanya.
Sebagai bekas ahli perbankan, Tengku Zafrul yakin bahawa NIMP akan membuka peluang baru untuk bank dan pasaran modal berinovasi dan menawarkan produk pembiayaan yang sesuai untuk sektor dan teknologi baru.
Beliau juga mengundang sektor kewangan untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam mencapai misi yang digariskan oleh NIMP 2030, serta strategi semikonduktor nasional yang baru dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Mei 2024.
"Sepanjang setahun setengah yang lalu, dasar-dasar MITI telah dirangka untuk tidak hanya merangkul mega-tren yang disebutkan sebelum ini, tetapi juga cukup tangkas untuk menghadapi perkembangan industri, geopolitik, atau ekonomi baru," kata beliau.
Dengan pengenalan NIMP 2030, Malaysia berada pada landasan untuk menghadapi cabaran penyahindustrian pramatang dan meletakkan negara ini dalam kedudukan yang lebih kompetitif di arena global.