Malaysia perjuang inisiatif kesederhanaan bendung fahaman ekstremisme
Bernama
Oktober 9, 2017 18:45 MYT
Oktober 9, 2017 18:45 MYT
Malaysia akan memperjuangkan pendekatan kesederhanaan dalam usaha membendung sebarang bentuk fahaman ekstremisme dan radikalisasi yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) bulan depan.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Dr Nasharudin Mat Isa berkata, langkah itu adalah elemen penting dalam memastikan keamanan dan keselamatan mampan serta menjadi platform bersama yang membolehkan masyarakat menemukan budaya dan tamadun dalam merapatkan jurang.
Nasharudin, yang juga Ketua pegawai Eksekutif GMM' berkata, usaha Malaysia menampilkan inisiatif GMM ke sesi ke-72 UNGA di New York pada November melalui satu resolusi juga menyediakan ruang kepada Malaysia untuk membangkitkan cadangan konkrit untuk isu-isu semasa seperti keganasan akibat perbezaan fahaman, konflik perkauman dan serangan pengganas.
"Fahaman golongan fanatik perlu ditangani oleh ideologi dan visi yang lebih progresif bagi keamanan dan tidak sebaliknya membangkitkan penentangan dalam langkah-langkah untuk membina semangat dan etika kemanusiaan.
"Untuk menghentikan semua bentuk keganasan, ekstremisme dan radikalisasi, jawapannya ialah kesederhanaan," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk " GMM: Membina Penghubung dan Menghapuskan Halangan melalui Kesederhanaan" di Wisma Putra di sini hari ini.
Nasharudin mengulas kenyataan oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman baru-baru ini yang berusaha untuk mengemukakan inisiatif GMM di UNGA melalui resolusi bagi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi.
Anifah dilaporkan berkata Malaysia telah mengulangi gesaan untuk GMM "memadamkan" api kebencian dan membendung pengaruh ekstremisme, idea-idea tidak bertoleransi yang ekstrem dan sempit, xenophobia dan kebencian antara kaum.
GMM adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi ke-65 UNGA pada 2010.
Sementara itu, Nasharudin berkata, kerjasama dalam memupuk kesederhanaan di kalangan negara ASEAN telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada negara anggota selepas mengadakan beberapa sesi meja bulat, dan lebih banyak program perlu dijalankan untuk terus menyebarkan kesedaran dan secara kolektif menyemai budaya keamanan secara mampan.
"Selain itu, Deklarasi Langkawi GMM juga telah mengukuhkan perpaduan dan solidariti bagi kesinambungan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau. Sehingga sekarang, kita perlu melaksanakan pelbagai program untuk mewujudkan kesederhanaan bagi masyarakat," kata beliau.
Nasharudin dalam syarahannya sebelumnya berkata GMM beruaha untuk membuka lembaran baharu untuk mempromosikan inisiatif kesederhanaan di London (United Kingdom), Manila (Filipina), Washington (Amerika Syarikat), Paris (Perancis) dan Amerika Latin.
-- BERNAMA
#ASEAN
#Datuk Dr Nasharudin Mat Isa
#Datuk Seri Anifah Aman
#Datuk Seri Najib Tun Razak
#New York
#UNGA