Malaysia perhebat usaha dengan Arab Saudi tangani ancaman IS
Dania Zainuddin
Oktober 21, 2015 20:43 MYT
Oktober 21, 2015 20:43 MYT
Kerajaan akan terus berkongsi maklumat dengan Arab Saudi dalam menangani isu militan IS terutama melibatkan golongan muda.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata ia sekaligus dapat mengelakkan golongan itu terpengaruh untuk menyertai kumpulan berkenaan.
Anifah berkata kerjasama itu dapat membantu memahami bagaimana kumpulan itu merekrut golongan muda untuk menyertai IS.
"Kami sudah mempunyai hubungan baik dan sentiasa berkomunikasi terutamanya dalam perkongsian maklumat.
"Ia membantu kami untuk memahami bagaimana kumpulan ini merekrut golongan muda dan orang ramai untuk menyertai mereka
"Hubungan baik dan komunikasi antara Malaysia dan Arab Saudi penting dalam menangani ancaman IS," kata Anifah pada sidang media selepas Mesyuarat bersama Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir di Kuala Lumpur pada Rabu.
Sementara itu, mengulas krisis di Yemen, Anifah berkata Malaysia bersedia untuk bekerjasma dengan semua negara termasuk Arab Saudi dalam usaha mengembalikan keamanan dan pembangunan semula di negara itu.
Mesyuarat memberi tumpuan kepada usaha yang perlu diwujudkan bagi mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai aspek.
Selain itu, kedua-dua menteri itu juga bertukar pendapat dalam isu antarabangsa dan memberi fokus ke atas situasi dan cabaran yang sedang dihadapi di Asia Barat termasuk situasi semasa di Yemen, Syria dan Palestin.
Sementara itu, Al-Jubeir berkata Arab Saudi berharap dapat meningkatkan hubungan dengan Malaysia dalam bidang perundingan politik, kerjasama keselamatan, ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kebudayaan.
"Kami mempunyai hubungan kukuh dan bekerjasama dengan baik terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan," kata Al-Jubeir.
Terdahulu, Al-Jubeir mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Al-Jubeir dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia.