Malaysia pelopori seni hiasan Al-Quran
Bernama
Februari 27, 2024 08:10 MYT
Februari 27, 2024 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mempelopori kesenian hiasan al-Quran dengan menerapkan nilai-nilai estetika Islam pada setiap mushaf (naskhah) termasuk identiti sesebuah negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata usaha yang dilakukan pihaknya sejak 30 tahun lepas itu bertujuan menarik minat orang ramai khususnya orang bukan Islam untuk mendalami al-Quran menerusi kesenian Islam.
"Mushaf yang kami keluarkan bukan untuk diedarkan di Malaysia sahaja, malah luar negara....jadi kita akan kaji mengenai negara berkenaan untuk mengetahui motif yang menggambarkan identiti masing-masing bagi tujuan hiasan al-Quran yang akan diterbitkan.
"Setakat ini pasukan yang menjalankan kajian ini ada lebih kurang 100 orang dan mereka ini akan ke negara-negara terlibat untuk mempelajari budaya negara berkenaan." katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini semalam.
Beliau berkata ketika ini sebanyak 30 jenis hiasan al-Quran melibatkan 30 jenis terjemahan bahasa dihasilkan bermotifkan identiti negara antaranya Perancis, China dan India.
Abdul Latiff berkata sebelum mendapat banyak permintaan dari negara luar, pihaknya menghasilkan mushaf Malaysia dengan memasukkan motif tempatan yang menunjukkan identiti negara termasuk budaya dan masyarakat.
"Kalau dahulu al-Quran ini kita peroleh dari negara Arab, tetapi kepentingan untuk kaitkannya dengan motif tempatan tidak berlaku. Jadi kita hasilkan mushaf Malaysia yang mana ia dihias untuk menunjukkan identiti negara dan usaha itu tidak terhenti di situ, malah dikembangkan pula mengikut daerah dan negeri," katanya.
Beliau berkata orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hiasan dan seni al-Quran dijemput ke Festival Seni Al-Quran Restu Global di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya yang sedang berlangsung hingga 3 Mac ini.
Pengunjung katanya berpeluang melihat sendiri penghasilan al-Quran secara langsung pada festival itu yang terbuka kepada semua golongan masyarakat, bermula 9 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja (sehingga 9 malam pada hujung minggu) secara percuma.
-- BERNAMA