Malaysia pastikan Dondang Sayang dilindungi untuk generasi akan datang

Bernama
April 27, 2019 08:00 MYT
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahary (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pengiat seni dondang sayang, Abu Bakar Ali sempena Majlis Penganugerahan Tokoh Warisan Negeri Melaka 2019 pada Jumaat. - Bernama
Malaysia akan menggalas tanggungjawab dalam memastikan Dondang Sayang terlindung untuk generasi akan datang seperti dijanjikan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata melalui pengiktirafan daripada UNESCO itu, seni warisan berasal dari negeri ini dapat dipelihara dengan laporan perlu dihantar empat tahun sekali kepada UNESCO mengenai pelaksanaan program dan aktiviti serta usaha perlindungan yang dilakukan.
"Saya percaya pengiktirafan ini bukan sahaja menjulang nama negara dan Melaka khususnya di mata dunia tetapi juga dapat menyumbang kepada kepesatan sektor pelancongan tempatan.
"Justeru, semua pihak perlu berganding bahu untuk turut sama membantu memastikan khazanah warisan ini (dondang sayang) terus kekal terlindung dan tersenarai di peringkat dunia," katanya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sijil pengiktirafan 'Dondang Sayang In The Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity' oleh UNESCO, yang disampaikan oleh beliau kepada kerajaan Melaka diwakili Ketua Menteri Adly Zahari.
Pengiktirafan itu diterima pada 29 Nov tahun lepas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (IGC-ICH) Unesco kali ke-13 yang berlangsung di Republik Mauritius.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Mohamaddin berkata kejayaan daripada pengiktirafan diterima itu harus dikongsi terutama dengan kerajaan Melaka, malah tugas memperkasa seni persembahan dondang sayang itu menjadi tanggungjawab bersama melalui program pengembangan yang berkesan.
Beliau berkata kementeriannya akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan Melaka bagi melaksanakan program pengembangan tersebut yang harus dirancang dan dilaksana dengan baik melalui sektor pendidikan, pelancongan, kebudayaan dan lain-lain berkaitan.
Menurutnya, selain dondang sayang, pihaknya juga kini sedang berusaha mencalonkan empat seni warisan negara - pantun, songket, mek mulung dan wangkang untuk mendapat pengiktirafan daripada UNESCO.
"Kita sedang dalam proses untuk mencalonkan seni warisan tersebut dan diharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.
Ditanya tentang langkah Kementerian Belia dan Sukan membawa masuk kumpulan K-Pop Korea Selatan, BTS bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020, Mohamaddin berkata pihaknya pada asasnya tiada halangan kumpulan itu dibawa masuk untuk mengadakan persembahan di negara ini.
"Kita tidak larang jika masuk (ke Malaysia membuat persembahan) atas dasar kapasiti sendiri, tetapi untuk guna (artis luar negara) sebagai budaya, kita tidak sokong.
"Perlu kita pelihara (budaya tempatan). Negara kita cukup dengan pelbagai budaya tersendiri yang boleh diangkat dan diketengahkan (untuk mempromosi negara)," katanya.
-- BERNAMA
#dondang sayang #generasi akan datang #irama tradisi #muzik tradisi #pelancongan #tradisi #Unesco #Warisan
;