Malaysia pantau tumpahan minyak di Selat Singapura - Wan Junaidi
Bernama
Disember 17, 2015 20:38 MYT
Disember 17, 2015 20:38 MYT
Malaysia sedang memantau kemungkinan berlaku pencemaran akibat tumpahan minyak berikutan pelanggaran dua buah kapal di Selat Singapura semalam, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Akibat pelanggaran itu sebuah kapal pengangkut yang membawa muatan 560 tan metrik minyak tenggelam.
Beliau berkata pada masa yang sama Malaysia sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan membuat persiapan awal terhadap sebarang kemungkinan walaupun masih belum menerima laporan mengenai insiden tersebut.
"Walaupun kejadian berlaku di perairan Indonesia, namun pemantauan adalah penting kerana bimbang tumpahan minyak akan masuk ke perairan Malaysia dengan dibawa arus sama ada masuk melalui Selat Melaka, Selat Singapura atau perairan Johor," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata beliau juga sudah berhubung dengan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Masagor Zulkifli mengenai langkah berjaga-jaga dan persediaan kedua-dua buah negara sekiranya berlaku tumpahan minyak.
Wan Junaidi berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memberikan laporan berkala kepadanya berkaitan perkembangan insiden itu dari semasa ke semasa.
JAS juga akan bekerjasama dengan Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) Singapura bagi memantau perkembangan semasa, katanya.
Kru hilang
Sementara itu Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura berkata kapal pengangkut tersebut bertembung dengan kapal tangki membawa bahan kimia kira-kira 8.14 malam dalam perairan Indonesia kira-kira enam batu nautika (11 kilometer) dari barat laut Batam.
Kapal pengangkut itu ‘Thorco Cloud’ yang mengibar bendera Antigua dan Barbuda beserta 12 kru berlanggar dengan kapal tangki 'Stolt Commitment' yang didaftar di Kepulauan Cayman.
"Setakat ini tiada laporan sebarang tumpahan minyak dan MPA telah bersiap sedia dengan kapal antipencemaran," kata MPA.
Dilaporkan enam kru hilang berikutan pelanggaran tersebut.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar pula berkata laporan awal diterima mengatakan Thorco Cloud tenggelam sepenuhnya.
Beliau menyaran kapal Malaysia yang melalui perairan itu agar lebih berhati-hati ketika melalui lokasi kejadian.
“Jangan menghampiri lokasi kejadian yang ditanda, memberi ruang yang cukup dan mengawal kelajuan supaya tidak terlalu dekat dengan kapal yang tenggelam,” katanya.