Malaysia panggil Duta Myanmar, nyata pendirian isu Rohingya
Astro Awani
September 5, 2017 19:27 MYT
September 5, 2017 19:27 MYT
Kementerian Luar hari ini memanggil Duta Myanmar ke Malaysia untuk menyatakan pendirian terhadap situasi keganasan yang berlaku di Rakhine.
Malaysia meluahkan kebimbangan dan keprihatinan negara ini dengan apa yang berlaku ke atas penduduk Rohingya yang kini berdepan penindasan di wilayah berkenaan.
Melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, sikap kurang peduli kerajaan Myanmar terhadap situasi tersebut memerlukan negara-negara jiran membawa dan membangkitkannya di peringkat forum antarabangsa.
"Biarpun kerajaan Myanmar menyatakan akan mengambil langkah untuk menyelesaikan konfik yang timbul, namun beberapa insiden keganasan yang berlaku sejak kebelakangan ini membuktikan ia belum cukup berkesan."
Malaysia menyertai masyarakat antarabangsa turut menggesa Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang merupakan aktivis hak asasi manusia dan pemenang Anugerah Nobel, untuk mengambil satu langkah proaktif dan mencari jalan damai, sekaligus meredakan ketegangan.