Malaysia panggil Duta Besar China, bantah pencerobohan kapal ke perairan negara

Astro Awani
Oktober 4, 2021 23:32 MYT
Kementerian Luar Negeri telah memanggil Duta Besar China untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia konsisten dengan pendirian mempertahankan hak kedaulatan di dalam perairan negara dan membantah pencerobohan kapal-kapal asing ke perairan negara.
Justeru, Kementerian Luar Negeri telah memanggil Duta Besar China untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China, termasuk kapal penyelidikan, di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.
“Keberadaan dan aktiviti kapal-kapal tersebut adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.
“Dalam menentukan pendirian dan tindakan yang diambil oleh Malaysia berhubung isu Laut China Selatan yang kompleks dan melibatkan hubungan antara negara, kepentingan negara akan terus dijadikan sebagai asas utama,” kenyataan itu menyebut.
Kenyataan itu juga menambah, Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk KUUL 1982.
#China #Kementerian Luar #Malaysia #perairan #Laut China Selatan
;