Malaysia, Palestin perteguh ikrar tingkatkan hubungan dua hala

Bernama
Ogos 16, 2016 16:37 MYT
SILAKAN ... Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semasa menerima kunjungan Menteri Luar Palestin, Dr Riad Malki (kiri) di Wisma Putra hari ini. - Gambar Bernama
Malaysia dan Palestin meneguhkan ikrar untuk meningkatkan hubungan rapat dan mesra yang sedia wujud antara kedua-dua negara.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini bersempena kunjungan hormat Menteri Luar Palestin Dr Riad Malki terhadap Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman di sini, Wisma Putra berkata kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan isu kepentingan bersama.
Malki dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia bermula hari ini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Strategi Lautan Biru di Putrajaya, yang bermula Selasa hingga 18 Ogos, untuk mewakili Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Wisma Putra berkata Malaysia terus berpegang teguh dengan pendiriannya dalam menyuarakan sokongan terhadap usaha mengembalikan hak mutlak rakyat Palestin di pelbagai forum antarabangsa yang menjadi amalannya sejak lima dekad lepas.
Ini termasuk di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
"Malaysia sering menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada Palestin, sama ada dalam bentuk wang atau sokongan bagi meringankan penderitaan rakyat negara itu," katanya.
Wisma Putra berkata Malaysia menyampaikan bantuan itu melalui pertubuhan pelbagai hala seperti PBB dan OIC dengan menggunakan saluran kerajaan dengan kerajaan (G-2-G) atau badan bukan kerajaan (NGO) negara ini.
Di samping itu, kerajaan Malaysia juga terlibat dalam pelaksanaan beberapa projek kemanusiaan di Gaza, katanya.
#Anifah Aman #Dr Riad Malki #Mahmoud Abbas #Malaysia #Palestin #Pertubuhan Bangsa Bersatu
;