Malaysia optimis usaha kesan lokasi MH370

Bernama
Oktober 22, 2014 18:40 MYT
BERFIKIRAN POSITIF: Hishammuddin (kiri) memberi kata-kata semangat kepada kru Phoenix International hari ini sebelum mereka memulakan operasi pencarian pesawat MH370 esok. - Astro AWANI
Malaysia optimis dengan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, yang dipercayai berakhir di kawasan terpencil di Lautan Hindi, sejak hilang pada 8 Mac.
Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau 99.9 peratus yakin dengan misi mencari berdasarkan penggunaan peralatan paling canggih.
"Saya optimis 99.9 peratus untuk mengesan pesawat hilang ini tetapi lautan amat luas.
"Dan ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan laut," katanya semasa melancarkan kapal disewa kontrak oleh Malaysia, Go Phoenix dan kenderaan sonar pengesan dalam air canggih dikenali ProSAS di Pelabuhan Fremantle di sini hari ini.
Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Jailani Johari, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Judith Zielke.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Usaha mencari pesawat itu masih diteruskan, namun tiada sebarang bukti kukuh ditemui setakat ini.
Hishammuddin juga merakamkan penghargaan beliau kepada negara-negara yang terlibat dalam misi mencari itu, termasuk Australia dan China, dan mengulangi komitmen kerajaan Malaysia untuk meneruskan misi mencari itu tanpa had masa spesifik.
Pada majlis itu, Naib Presiden Petronas bagi Pengurusan Petroleum Malaysia, Adif Zukifli berkata Petronas menyediakan USD21 juta (RM67 juta) untuk membiayai kos bagi kapal itu, bersama-sama anak kapal dan peralatan pengesan dalam air.
"Pembiayaan itu untuk sewaan alat pengesan bagi tempoh enam bulan sehingga Februari 2015," katanya.
Kapal itu dijangka memulakan misi mencari selama 30 hari dari esok (Khamis) di bahagian selatan Lautan Hindi, kira-kira 3,000km dari Perth dan Deftech DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd bertindak sebagai vendor yang menyediakan perkhidmatan teknikal bagi kapal itu.
Sementara itu, Zielke berkata beliau akan berlepas ke Kuala Lumpur hari ini bagi mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa Malaysia dan pakar-pakar antarabangsa, yang terlibat dalam jawatankuasa penyiasatan MH370 bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan penyiasatan pesawat itu.
"Kami akan bincangkan tentang prosedur Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) jika ada kemungkinan pesawat itu ditemui," katanya.
Jailani, yang juga pengerusi Jawatankuasa Media MH370, mengingatkan media asing dan tempatan supaya tidak membuat spekulasi tentang kehilangan pesawat itu dan membuat laporan berita berdasarkan maklumat yang telah disahkan.
Berhubung penyiasatan tragedi Penerbangan MH17 terhempas, Hishammuddin berkata Malaysia komited untuk menyelesaikan penyiasatannya dengan segera dan tiada niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung siapa bertanggungjawab bagi tragedi itu sehingga penyiasatan selesai.
Penerbangan MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Donetsk, timur Ukraine dekat sempadan Rusia pada 17 Julai.
Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal -- dipercayai ditembak jatuh, tetapi sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
#Australia #Fremantle #GO Phoenix #Hishammuddin Hussein #Lautan Hindi #Malaysia #MH17 #MH370 #Perth #SAR
;