Malaysia nyata hasrat anggotai Lembaga Eksekutif UN-Habitat

Astro Awani
Jun 27, 2022 07:20 MYT
Reezal Merican (kiri) berkata, Malaysia telah menyatakan hasrat untuk mendapat sokongan supaya dipilih dalam keanggotaan Lembaga Eksekutif program itu pada Jun 2023. -Foto KPKT
KATOWICE: Malaysia komited memainkan peranan yang lebih aktif dalam Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN-Habitat).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Malaysia telah menyatakan hasrat untuk mendapat sokongan supaya dipilih dalam keanggotaan Lembaga Eksekutif program itu pada Jun 2023.
Tambah Reezal, ini merupakan peluang yang perlu direbut oleh Malaysia memandangkan tiada negara anggota ASEAN menganggotai UN-Habitat yang hanya menawarkan 36 kerusi perwakilan.
"Saya juga bawakan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet supaya kita dapat memberikan segala komitmen agar kita menjadi pemain utama dalam UN Habitat.
"Malah, rakan sejawat saya daripada beberapa negara lain yang ditemui di World Urban Forum (WUF) 2022 turut menyatakan sokongan awal mereka," katanya kepada media di sini pada Isnin.
Reezal mengetuai delegasi Malaysia dalam WUF ke-11 yang berlangsung secara rasmi pada Isnin sehingga 30 Jun depan di Katowice, Poland.
Untuk rekod, Lembaga Eksekutif UN Habitat memperuntukkan lapan kerusi bagi negara-negara Asa Pasifik yang ketika ini diisi Sri Lanka, Korea Selatan, China, Jepun, India, Iran, Bahrain dan Pakistan.
#Reezal Merican Naina Merican #UN-Habitat #WUF11 #WUF2022
;