Malaysia - New Zealand perkukuh kerjasama menentang aktiviti keganasan

Harits Asyraf Hasnan
Mac 27, 2019 14:27 MYT
Wan Azizah dan Peters di Parlimen pagi tadi. - Foto Jabatan Perdana Menteri
Kerajaan Malaysia dan New Zealand bersepakat untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam menentang aktiviti keganasan pasca tragedi Christchurch yang mengorbankan 50 individu termasuk seorang remaja warga Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akui kedua-dua negara turut bersetuju mengukuhkan kerjasama pelbagai bidang yang telah terjalin sekian lama.
Menerusi pertemuan lebih 30 minit dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Winston Peters, Dr Wan Azizah turut menzahirkan ucapan takziah kepada Kerajaan negara itu atas tragedi yang menimpa.
“Kerajaan Malaysia kekal bersama-sama dengan Kerajaan New Zealand dalam waktu sukar sebegini.
“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan New Zealand atas segala bantuan kepada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa.
“Dalam perkara ini, Peters dan saya turut bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam mengekang pengganas,” katanya dalam sidang media bersama di Parlimen hari ini.
SEMUA YANG ANDA PERLU TAHU MENGENAI TRAGEDI SOLAT JUMAAT CHRISTCHURCH
Dalam pertemuan dipejabatnya, Peters yang juga Menteri Luar New Zealand turut berkongsi pandangan berkenaan meningkatkan kerjasama perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan hubungan antara rakyat.
Dalam insiden 15 Mac lalu, seorang remaja Malaysia terbunuh, manakala tiga lagi rakyat Malaysia cedera yang turut mengakibatkan 50 orang terbunuh dan 42 orang cedera.
#Australia #Brenton Tarrant #Dr Wan Azizah Wan Ismail #Masjid Al Noor #Masjid Linwood #Muhammad Haziq Mohd Tarmizi #New Zealand #pengganas #rakyat Malaysia #Timbalan Perdana Menteri #Tragedi Solat Jumaat #Tragedi Solat Jumaat Christchurch #Winston Peters
;