Malaysia negara pelik, rakyatnya segan guna bahasa kebangsaan – KP DBP

Firdaus Azil
Disember 18, 2024 23:34 MYT
Dr Hazami berkata, tidak ada cacat cela bila ditambah kosa kata dengan pelbagai sumber ada, baik daripada bahasa asing, bahasa serantau atau bahasa baharu yang dicipta. - Gambar fail/DBP
KUALA LUMPUR: Sikap rakyat Malaysia yang seolah-olah segan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu situasi yang mengejutkan, tegas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari.
Beliau berkata, situasi itu jelas menunjukkan penjajahan minda serta tidak krisis ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu, kononnya ia tidak mempunyai nilai ekonomi, standard, serta mutu tersendiri.
Tegasnya lagi, ia sama sekali berbeza dengan mentaliti bangsa negara-negara yang maju seperti Perancis, China, Jepun dan Thailand, malah negara serantau Indonesia sendiri amat berbangsa dengan bahasa kebangsaan mereka.
“Saya terasa pelik dan terasa agak terkejut … Malaysia ini negara yang paling pelik di dunia, ada bahasa sendiri, tetapi segan digunakan.
“Mungkin anda pernah pergi ke negara seperti Perancis, China, Jepun, Thailand dan sebagainya.Di negara yang maju ini mereka bangga menggunakan bahasa mereka sendiri, tapi di Malaysia kita sangat segan menggunakan bahasa kita,” katanya lagi sewaktu bersiaran bersama Agenda AWANI.
Bagi memantap dan memperkasakan lagi budaya penggunaan bahasa kebangsaan, Hazami berkata, pihak DBP telah merancangkan pelbagai program dan kegiatan pada masa hadapan, khususnya pemantapan prasarana kebangsaan dan kesusasteraan.
Tambahnya lagi, dengan keprihatinan Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Belanjawan 2025 akan digunakan sebaik mungkin bagi tujuan berkaitan.
“Jati diri bangsa terletak pada ukur tara bahasa, bangsa dan kesenian, jadi majunya bangsa itu bukan setekat sains dan teknologi tetapi juga dari sudut pemikiran dan budaya.
“Maka bahasa yang kita laksanakan iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perlu kita angkat, martabat dan perkasakan, dan peruntukan inilah yang kita guna sepenuhnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu Hazami berkata, tiada salahnya Bahasa Melayu dikembangkan dengan pelbagai sumber, kerana bahasa yang tidak berkembang dan tidak menerima perubahan, mungkin pada akhirnya ia akan mati begitu sahaja.
Beliau berkata, tidak ada cacat cela bila ditambah kosa kata dengan pelbagai sumber ada, baik daripada bahasa asing, bahasa serantau atau bahasa baharu yang dicipta.
“Konteks pembinaan Bahasa Melayu, prinsipnya ialah, apabila perkataan itu disebut dalam jumlah yang tertentu, dalam pelbagai saluran tertentu, kita rakamkan sebagai kata dalam kamus, dan pihak DBP akan beri tafsiran dan huraian.
“Dan saya nak tegaskan, kita tak kira siapa bercakap, orang itu hebat atau biasa, kalau dituturkan cukup syarat kita rakamkan. Pada saya ia adalah sesuatu yang baik kalau kita dapat menerima pelbagai sumber lain untuk keperluan bahasa kita agar berkembang,” katanya lagi.
#Bahasa Melayu #Dewan Bahasa dan Pustaka #Dr Hazami Jahari #Kerajaan Madani
;