Malaysia negara maju bidang Sains menjelang 2020 - Muhyiddin

Hafiz Marzukhi
Mei 24, 2015 08:46 MYT
MUHYIDDIN: Kita akan menumpukan kepada program yang memberi fokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D). -Gambar fail
Malaysia mensasarkan untuk menjadi negara yang maju dalam bidang Sains menjelang tahun 2020.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hasrat ini adalah selari dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara.
"Oleh itu, sewajarnyalah bidang ini diberi penekanan dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 pada Khamis," kata Muhyiddin.
Tambah beliau, di bawah RMK ke-11, Kerajaan Persekutuan telah mensasarkan bagi membuat anjakan untuk menguasai bidang Sains, Teknologi dan Inovasi.
"Kita akan menumpukan kepada program yang memberi fokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata beliau, yang juga merupakan Menteri Pendidikan.
Muhyiddin ditemui ketika berucap di Majlis Anugerah Inovasi Negara 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Kata Muhyiddin lagi, strategi perlaksanaan RMK ke-11 adalah mewujudkan ekonomi berteraskan rakyat.
"Selain itu, kerajaan juga menekankan peningkatan kesejahteraan rakyat dan ekonomi berasaskan modal yang tertumpu kepada pencapaian pendapatan yang tinggi.
"Kita tidak kekurangan idea cuma ciptaan dan hasil inovasi kita tidak Berjaya melepasi jurang kritikal, juga dikenali sebagai 'innovation valley of death'," kata Muhyiddin.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin.
#Dasar Sains #Inovasi Negara #Malaysia #Muhyiddin #R&D #Sains #teknologi
;