Malaysia negara Islam contoh pertumbuhan ekonomi - Sheikh Rached Ganouchi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Julai 12, 2017 20:11 MYT
SHEIKH RACHED: Ada tiga perkara yang umat Islam perlu perkukuhkan hubungan mereka iaitu dalam bidang ekonomi, politik dan pendidikan.
Malaysia boleh memainkan peranan penting khususnya bagi mempromosi hubungan Islam dan demokrasi.
Islam menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan Malaysia adalah negara contoh terbaik dalam pengamalan yang diterapkan Islam bagi membangun sebuah negara.
Presiden Pergerakan Al Nahda, Tunisia, Sheikh Rached Ganouchi berkata Malaysia dan Tunisia boleh bersama-sama memikul misi kemananan dan demokrasi global yang diterapkan Islam dengan cemerlang.
Sheikh Rached Ganouchi turut mencadangkan agar Malaysia menjadi negara contoh dan pendamai dalam isu-isu yang melibatkan Islam dan negara Islam.
"Ada tiga perkara yang umat Islam perlu perkukuhkan hubungan mereka iaitu dalam bidang ekonomi, politik dan pendidikan.
"Kalau kita lihat sekarang ini, dunia sedang berusaha bersatu antara satu sama lain namun malangnya kalangan negara Islam perkara itu tidak berlaku, dan kita merasa amat sedih dengan apa yang berlaku kalangan negara Islam khasnya di Teluk Arab sekarang ini," katanya.
Sheikh Rached Ganouchi berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Bidang Peradaban Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, hari ini.
Anugerah disampaikan Pengerusi UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Tambah Sheikh Rached, beliau amat yakin Malaysia dan Tunisia boleh berganding bahu untuk membantu mencadangkan penyelesaian kepada perbezaan pandangan dan pendapat dalam kalangan negara Arab.
"Ini kerana Malaysia-Tunisia mempunyai asas-asas yang kukuh bagi meredakan ketegangan negara Arab tersebut.
"Selain itu Malaysia juga dapat membersihkan nama Islam dari dikaitkan dengan sebarang aktiviti keganasan," katanya.
Bergabung tenaga
Sementara itu menurut Presiden UIAM yang juga Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim, umat Islam disaran agar tidak lagi berpegang pada arus politik antarabangsa bagi menentukan hala tuju dunia Islam.
Menurut Dr Rais, rumpun Melayu Islam yang dianggarkan berjumlah lebih 300 juta orang di Nusantara, perlu bergabung tenaga dengan negara di Asia Barat dan China bagi mengembalikan kegemilangan dunia Islam.
"Kita mengharapkan supaya cerdik pandai Islam, pemimpin Islam melihat kepada kekuatan kita, penzahiran produk kita samada minyaknya, emas dan keupayaan ekonomi kita.
"Dan ini harus dijadikan sebagai faktor mengukuhkan masa depan, dan kita tidak lagi boleh menyerah diri kepada arus politik antarabangsa yang tidak menentu," katanya.
Dr Rais menambah hasil perbincangan bersama Sheikh Rached, UIAM akan menerima kunjungan singkat cendekiawan dari Tunisia akan berkongsi kepakaran dunia arab dalam kursus-kursus jangka pendek yang akan dilaksanakan.
Antara yang bakal diketengahkan adalah sektor kesarjanaan dan penyelidikan Islam, ekonomi, politik dan Bahasa Arab.
#Asia #ekonomi #Islam #kerajaan #Malaysia #pendidikan #politik #Rais Yatim #sheikh rached ganouchi #Tunisia
;