Malaysia naik ke Tahap 2 laporan pemerdagangan manusia AS
Afiezy Azaman
Jun 25, 2024 10:00 MYT
Jun 25, 2024 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dinaik taraf ke Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 yang diumumkan di Washington, pada Isnin.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), peningkatan itu strategik dan signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 3 Pemerhatian pada 2023 dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.
Kata KDN, kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang turut memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.
"Antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman yang signifikan, program kesedaran, pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang.
"Laporan ini juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.
"Selain itu, laporan ini juga merekodkan perkara penambahbaikan baharu iaitu memberi perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah," kata KDN dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Selasa.
Tahap 2 ditakrifkan sebagai tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS dalam menghapuskan pemerdagangan manusia, tetapi ada usaha signifikan untuk mematuhinya.
Penurunan tahap itu membawa risiko terhadap eksport negara berpotensi disekat.
Mengulas lanjut, KDN berkata, terdapat tiga fokus utama telah direncana bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan.
Sehubungan itu Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh KDN bersama-sama dengan Kementerian dan Agensi Kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdaganganorang di Malaysia termasuklah dalam menangani trend terbaharu melibatkan penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai.
"Usaha menoktahkan pemerdagangan orang ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan.
"Justeru, KDN dan MAPO terbuka untuk berganding bahu dengan badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam menangani isu ini melalui pendekatan menyeluruh negara.
"Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia," ujarnya.