Malaysia mungkin tak capai status negara maju menjelang 2020 - Tun M
Firdaus Azil
Julai 9, 2018 11:28 MYT
Julai 9, 2018 11:28 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi kenyataannya bahawa Malaysia tidak akan dapat mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, seperti mana yang disasarkan melalui Wawasan 2020.
Ujarnya lagi, realiti kini menunjukkan ianya mungkin tidak tercapai memandangkan pentadbir yang diberikan amanah dalam kerajaan terdahulu ‘terlupa’ akan tujuan mengapa mereka memegang kuasa itu.
“Kita telah memperkenalkan Wawasam 2020, kita sedang berjalan ke arah itu, tetapi apabila kita lupa akan tujuan kuasa yang diberikan kepada kita, maka jalan itu terhenti dan sekarang ini kita tak percaya kita boleh capai matlamat kita,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Namun, Perdana Menteri berkata, status negara maju itu tetap akan tercapai selagi mana rakyat, bersama-sama dengan pentadbir dapat terus rajin berusaha, serta ikhlas dalam melaksanakan amanah yang diberi.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, barisan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Tan Sri Dr Ali Hamsa dan pegawai kanan dari agensi berkaitan.
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Jabatan Perdana Menteri
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#perhimpunan
#Timbalan Perdana Menteri
#Tun M