Malaysia mungkin salur bantuan kemanusiaan di Gaza melalui "air drop"

Bernama
Mac 21, 2024 19:30 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi penduduk di Gaza secara 'air drop' atau digugurkan melalui ruang udara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan sedang berbincang untuk menentukan cara alternatif yang terbaik untuk menyalurkan bantuan berkenaan.
"Kalau kita mahu lakukan bantuan kemanusiaan melalui air drop, mungkin kita hantar barang itu dan pihak sana yang lakukan air drop ... bukan dari kapal terbang kita.
"Tetapi cara bagaimana nak sampai ke tempat itu, ia di bawah bidang kuasa Kementerian Luar (KLN). Untuk sampai ke Gaza, ia urusan KLN dan bukannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pergi buat air drop," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta, bank dan orang awam kepada ATM di Auditorium Wisma Pertahanan.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 480 kotak makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia digugurkan dari udara di utara Gaza menggunakan pesawat kargo C130 milik Tentera Udara Diraja Jordan.
Usaha itu dijalankan menerusi badan bukan kerajaan, Karisma Humanitarian Outreach Mission, hasil kerjasama Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan, Childcare Charity Association dan Tentera Udara Diraja Jordan.
Berhubung majlis itu, ATM menerima sumbangan keseluruhan bernilai RM2.524 juta termasuk barangan dan wang tunai yang menyaksikan peningkatan sebanyak 41 peratus berbanding sumbangan yang diterima pada tahun lepas.
Mohamed Khaled berkata hasil daripada sumbangan yang diterima ini, ATM telah menyediakan sebanyak 15,000 beg hari raya yang akan diagihkan kepada anggota-anggota ATM bertugas menjaga keamanan dan kedaulatan negara pada lebaran nanti.
"Ia merangkumi anggota yang bertugas di perbatasan negara sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan juga di luar negara di bawah misi panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia #bantuan kemanusiaan #Gaza #air drop
;