Malaysia mula uji penawar COVID-19 pertengahan April
Astro Awani
April 10, 2020 19:24 MYT
April 10, 2020 19:24 MYT
Malaysia menyertai pelbagai lagi negara dunia dalam mencari penawar COVID-19 dengan bermulanya ujian klinikal secara bersama di antara empat hospital tempatan.
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Jaafar Seremban akan memulakan ujian klinikal ini pada pertengahan April.
“Kami menghargai penyertaan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kajian yang amat penting ini yang berpotensi menyelamatkan banyak nyawa dan menyumbangkan kepada usaha mendesak mencari rawatan terbaik kepada pesakit COVID-19 terutama pesakit teruk,” kata Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman sebagai Dekan Fakulti Perubatan PPUM.
Fokus kajian ialah pada ubat bernama Tocilizumab yang dipasarkan dengan jenama Actemra.
Ubat ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam beberapa ujian klinikal bebas di seluruh dunia untuk merawat pandemik ini.
Kajian tocilizumab yang sebelum ini dijadikan penawar membabitkan radang sendi atau artritis rheumatoid, akan tertumpu kepada perbandingan tocilizumab secara intravena dengan dos tinggi corticosteroid pada 300 pesakit teruk COVID-19.
Profesor Datuk Dr. Adeeba yang mengetuai kumpulan penyelidik empat hospital ini menerangkan bahawa fokus adalah pada peratusan kecil pesakit COVID-19 yang akan menjadi teruk berbanding majoriti lain.
“15 peratus pesakit akan jadi tenat dengan 5 peratus daripadanya menjadi kritikal dan 1 hingga 3 peratus seterusnya meninggal dunia," katanya.
Jelas Prof Datuk Dr. Adeeba yang juga pakar dalam bidang penyakit berjangkit, semakin jelas bahawa dalam kumpulan kecil pesakit ini, sistem imun tubuh memberi tindak balas berlebihan berbahaya yang dikenali sebagai cytokine storm yang menewaskan pesakit dengan kegagalan sistem pernafasan diikuti pelbagai organ lain.
"Untuk pesakit-pesakit ini, ironinya tindak balas sistem imun tubuh pada viruslah yang membunuh mereka. Jadi kita perlu temui cara untuk hentikan tindak balas sistem imun yang berlebihan ini sebaik sahaja ia bermula.
"Tujuan kajian ini antara lain bagi melakukan pemantauan rapi kumpulan pesakit, sebaik sahaja kemerosotan secara klinikal dan makmal, sama ada akan dirawat dos tinggi steroid atau dengan tocilizumab," jelasnya.
Kajian ini juga untuk menghalang perkembangan proses keradangan melampau (hyperinflammation) yang menyebabkan kegagalan pernafasan. Ini dengna harapan untuk mengelak lebih ramai pesakit yang bergantung kepada mesin artificial ventilation yang bukan sahaja terhad, tetapi mengakibatkan pelbagai komplikasi lain.
Lagi mengenai kajian ini akan dikongsikan dalam program Agenda AWANI pada Jumaat 9 malam.