Malaysia mohon lapan suspek rampas MT Orkim Harmony diekstradisi - Ahmad Zahid

Bernama
Jun 20, 2015 11:18 MYT
Kata Ahmad Zahid, permohonan esktradisi itu akan dikemukakan kepada dua negara iaitu Vietnam dan Indonesia agar siasatan serta pendakwaan dapat dijalankan selewat-lewatnya Selasa ini. - Foto TLDM
Pihak berkuasa Malaysia akan mengemukakan permohonan bagi lapan suspek perampas kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony diekstradisi ke negara ini untuk menghadapi pendakwaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya permohonan esktradisi itu akan dikemukakan kepada dua negara iaitu Vietnam dan Indonesia agar siasatan serta pendakwaan dapat dijalankan selewat-lewatnya Selasa ini.
"PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan siasatan lebih lanjut setelah siasatan awal dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam.
"Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan Vietnam, Kemboja serta Thailand yang turut memberikan kerjasama kepada pihak penguat kuasa Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Al-Khairiah, Selekoh di sini malam tadi.
Lapan suspek itu yang merupakan warga Indonesia ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan negara itu kira-kira 6.30 pagi semalam.
Ahmad Zahid juga tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang dalam berhubung kejadian itu, bagaimanapun siasatan terperinci perlu dilakukan berhubung perkara itu.
"Ada baiknya kita tunggu siasatan daripada pihak berkuasa Vietnam dan PDRM yang akan melakukan siasatan terperinci serta pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk melakukan pendakwaan," katanya.
MT Orkim Harmony, yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun lepas ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal milik Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.
Operasi menyelamat kapal berkenaan yang dirampas lapan perampas berakhir semalam dengan kesemua anak kapal itu dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi.
Bagaimanapun seorang daripada kru kapal iaitu tukang masak warga Indonesia Mavit Matin, 46, cedera di paha kerana ditembak perampas, telah diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
#Abdul Aziz Jaafar #Ahmad Zahid Hamidi #Indonesia #Orkim Harmony #rampasan
;