Malaysia minta Indonesia pertimbang program kerjasama pemuliharaan badak Sumatera
Bernama
September 22, 2016 07:33 MYT
September 22, 2016 07:33 MYT
Menyedari pentingnya pemuliharaan badak Sumatera, Malaysia dalam proses membuat permohonan rasmi kepada Indonesia supaya mempertimbang cadangan pelaksanaan 'Program Kerjasama Pemeliharaan Badak Sumatera Antara Malaysia dan Indonesia'.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia telah membentangkan cadangan mengenai program itu pada Mesyuarat Tiga Hala Heart of Borneo (HoB) Ke-10 yang diadakan di Brunei pada 5 hingga 7 September lepas.
"Selain itu, usaha sedang dijalankan bagi mengatur perbincangan lanjut mengenai inisiatif ini antara ahli sains dan pakar dalam bidang berkaitan daripada kedua-dua negara sebagai persediaan awal melaksanakan program ini.
"Kerajaan Indonesia juga menawarkan kemudahannya di Way Kambas National Park bagi menyokong kerjasama saintifik ini," katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Badak Sedunia yang disambut pada 22 September setiap tahun.
Beliau berkata Badak Sumatera dikategorikan sebagai 'sangat terancam' dalam Senarai Data Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN)(2001).
Pada masa ini, katanya hanya ada tiga ekor badak Sumatera di Malaysia yang ditempatkan dalam kurungan di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah di bawah Program Santuari Badak Sumatera Borneo.
Wan Junaidi menjelaskan antara cabaran yang dihadapi dalam konservasi spesies itu adalah perilaku semula badak yang hidup secara bersendirian, memilih musim tertentu untuk membiak, ketidaksuburan dan berlakunya persenyawaan dalam keturunan yang sama.
Faktor luaran seperti kehilangan habitat yang sesuai serta pemburuan haram berikutan kepercayaan perbuatan tradisional turut menyukarkan usaha konservasi spesis mamalia yang paling terancam di dunia itu.
"Namun demikian, kerajaan komited untuk memastikan badak Sumatera tidak pupus di Malaysia melalui kerjasama antarabangsa. Kerajaan juga menjejak dan mengesan kehadiran badak di kawasan yang belum diterokai yang terbukti melalui operasi," katanya.
Wan Junaidi turut meminta rakyat Malaysia supaya mengelak daripada membeli produk yang didakwa memiliki khasiat daripada badak sebaliknya meminta mereka berganding bahu bersama-sama kerajaan untuk memulihara Badak Sumatera yang merupakan khazanah biodiversiti.