Malaysia miliki sistem pertahanan siber tercanggih - Hishammuddin
Anthea Yap
Oktober 26, 2016 10:07 MYT
Oktober 26, 2016 10:07 MYT
Malaysia akan mempunyai sistem pertahanan siber tercanggih di ASEAN, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Katanya, ketika ini sistem yang dikendalikan Unit Khas Pertahanan Siber Angkatan Tentera Malaysia berada pada tahap 90 peratus siap.
Sejak 2013, sistem itu telah berjaya mematahkan beberapa cubaan pencerobohan sistem pertahanan negara, tambahnya.
"Ia sangat khusus. Ia tidak murah. Dan tidak banyak pihak yang mempunyai kemampuan yang mahu berkongsi dengan kita, kecuali mereka percaya kepada kita, mereka tahu kita strategik. Dan Alhamdulillah kita berada dalam kedudukan itu.
"Jadi, jika inisiatif pertahanan siber ini berjalan seperti dirancang, selamat bagi saya mengatakan bahawa Malaysia adalah antara negara teratas di rantau ini dari segi pertahanan sibernya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan dan Hari Inovasi Peringkat Kementerian Pertahanan 2016 di ibu negara pada Selasa.
Peranan utama Unit Khas Pertahanan Siber adalah memantau ancaman siber terhadap negara, mengaudit keselamatan siber serta forensik.