Malaysia Midnight Sale 2024 dilancar, tarik pelancong bermalam
Bernama
Oktober 31, 2024 10:40 MYT
Oktober 31, 2024 10:40 MYT
JOHOR BAHRU: Tourism Malaysia melancarkan program Malaysia Midnight Sale 2024 di sekitar bandar raya ini bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa berbelanja dan bermalam di Johor.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, inisiatif baharu di bawah kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia 2024, dengan kerjasama Mastercard, Paradigm Mall Johor Bahru, dan GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, akan berlangsung selama empat hari, bermula semalam hingga Sabtu.
"Inilah kali pertama selepas pandemik COVID-19, Tourism Malaysia mengadakan pesta jualan tengah malam. Matlamatnya adalah untuk menarik lebih ramai pelancong dari negara jiran, khususnya Singapura, agar mereka berbelanja dan bermalam di Johor.
"Sehingga September lepas, seramai 6.9 juta pelawat harian dari Singapura datang ke Johor, dan angka ini jauh lebih tinggi berbanding sebelum pandemik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Midnight Sale 2024 di Paradigm Mall Johor Bahru, malam tadi.
Turut hadir Pengarah Bahagian Perniagaan Konsesi dan Hospitaliti WCT Holdings Berhad, Lai Cheng Yee serta Pengarah Pembangunan Perniagaan Mastercard, Mohd Hanif Yaakob.
Manoharan berkata, pogram ini berlangsung dari 10 malam hingga 12 tengah malam, dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus, diharapkan dapat menggalakkan pelawat harian untuk bermalam di negeri ini, sekali gus menyumbang kepada ekonomi setempat dan meningkatkan jumlah pelancong.
"Kita ingin menukar pelawat harian kepada pelancong kerana, menurut definisi Pertubuhan Pelancongan Dunia, pelancong perlu menginap di lokasi pelancongan. Melalui program ini, kita berharap lebih ramai pelancong akan berkunjung dan menginap di hotel sekitar Johor Bahru," katanya.
Beliau berkata, hotel seperti Ramada Straits Johor, Trinidad Suites Johor, Shama Suasana Johor Bahru, Holiday Inn Johor Bahru, Opero Hotel Southkey Johor Bahru, Hyatt Place Johor Bahru, Holiday Villa Hotel Johor Bahru, Thistle Johor Bahru, Grand Paragon Johor Bahru, New York Hotel Johor Bahru dan Trove Johor Bahru turut menawarkan kadar bilik istimewa dengan diskaun sehingga 72 peratus sehingga Sabtu ini.
Katanya, selain Paradigm Mall Johor Bahru, jualan tengah malam itu juga akan diadakan di premis GCH Retail di sekitar bandar raya ini seperti Mercato Garden Square, Mercato Plaza Pelangi, Giant Plentong, Giant Leisure Mall, Giant Tampoi dan Giant Southern City bermula esok hingga Sabtu.
"Selepas Johor, kita akan mengadakan program ini di Melaka dan di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran, termasuk Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, dan Kedah. Program ini juga mendapat sambutan positif daripada pusat beli-belah di Kuala Lumpur yang berminat untuk mengadakan jualan tengah malam seperti ini," katanya.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sempena Malaysia Midnight Sale 2024 untuk pengunjung di pusat beli-belah terlibat, termasuk pameran pakej pelancongan, persembahan langsung, cabutan bertuah setiap jam, pesta buah-buahan tempatan, dan aktiviti hiburan untuk kanak-kanak. - BERNAMA