Malaysia mesti beri sumbangan ketara sebagai penentu, pembentuk dasar di arena antarabangsa
Bernama
Mac 7, 2023 06:15 MYT
Mac 7, 2023 06:15 MYT
PUTRAJAYA: Pemukiman Wisma Putra 2023 mengesyorkan Malaysia mesti memberikan sumbangan yang ketara sebagai penentu dan pembentuk dasar di arena antarabangsa dan menggunakan sepenuhnya "faktor Anwar Ibrahim" untuk meningkatkan lagi keupayaan 'soft power'.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pemukiman itu yang turut dihadiri ahli Majlis Perundingan Dasar Luar (CCFP), berpandangan bahawa Malaysia tidak boleh berada di belakang dan sekadar melihat negara lain merencana peraturan dan undang-undang yang mentadbir dunia.
"Pemukiman itu menekankan bahawa kita mesti bertanggungjawab dan menjadi penggerak di sebalik keputusan yang memberi kesan kepada kita semua. Pemukiman itu berpandangan bahawa Malaysia mesti proaktif dalam pendekatan kita, mengambil inisiatif untuk mencadangkan idea dan penyelesaian untuk menangani cabaran yang dihadapi dunia hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi interaksi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 106 ketua perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara, sempena pemukiman dua hari yang berakhir pada Selasa.
Zambry berkata ada hasrat yang disuarakan sesetengah pihak ketika pemukiman itu supaya Malaysia meneruskan langkah berbanding mengambil alih, peranan negara sebagai 'Middle Power'.
Memandangkan Malaysia sudah lama diiktiraf sebagai peneraju di persada antarabangsa, beliau berkata pemukiman itu menyarankan Malaysia perlu terus memainkan peranan dalam bidang seperti perdamaian melalui Operasi Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPKO); memperjuangkan hak Ummah; Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan kerjasama Selatan-Selatan.
"...Wisma Putra akan mengkaji dengan teliti aspirasi untuk mencapai status Malaysia sebagai 'Middle Power'," katanya.
Zambry berkata pemukiman sebulat suara bersetuju Malaysia harus menggunakan sepenuhnya "faktor Anwar Ibrahim" kerana perdana menteri terkenal di peringkat antarabangsa untuk meningkatkan lagi keupayaan 'soft power' selain memanfaatkan kekuatan ekonominya dalam memajukan agenda keselamatan insan.
Mereka mengesyorkan Malaysia menggunakan MTCP sebagai alat untuk mengukuhkan lagi 'soft power' dan meningkatkan diplomasi saintifik dan pendidikan, termasuk melalui agenda pengantarabangsaan Kementerian Pengajian Tinggi seperti Jangkauan Global Malaysia (JGM) dan Education Malaysia Global Services ( EMGS).
"Pemukiman itu turut menekankan bahawa Wisma Putra perlu meningkatkan kedudukan global dan moral melalui diplomasi awam yang berkesan untuk meningkatkan penampilan Malaysia, melalui strategi komunikasi media sosial yang komprehensif seperti Diplomasi TikTok dan Insta-Diplomasi," katanya.
Pemukiman itu turut mengesyorkan penubuhan pasukan petugas yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai disiplin untuk melaksanakan pengantarabangsaan enam nilai MADANI.
Konsep MADANI diperkenalkan Perdana Menteri pada Januari yang berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
"Pemukiman itu juga mengesyorkan penubuhan platform untuk dialog dan perbincangan intelektual mengenai punca, proses dan tindak balas yang sewajarnya dalam menangani isu Islamofobia, intolerans agama dan diskriminasi. Sehubungan itu, Malaysia akan mempromosikan nilai dan aspirasi MADANI dengan menyelaraskannya kepada dasar luar negara kita," katanya.
Turut dibincangkan pada pemukiman itu mengenai prospek masa depan Malaysia di Afrika dan Amerika Latin.
"Wilayah itu turut mempunyai kepentingan, baik dari segi potensi ekonomi dan lokasi yang strategik; memperdalam penglibatan kami dengan wilayah ini; dan kemungkinan membuka lebih banyak misi di lokasi strategik ini," katanya.
Mengenai Malaysia yang akan menyandang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, Zambry berkata pemukiman mengakui bahawa Malaysia mesti segera mengenal pasti keutamaan dan pencapaian utama yang akan dicapai negara semasa menjadi pengerusi.
"Pemukiman itu mencadangkan agar Malaysia membuat penilaian yang mendalam dan menyeluruh terhadap pencapaian tiga tonggak ASEAN: (i) Politik-Keselamatan; (ii) Ekonomi; dan (iii) Sosiobudaya," katanya.
-- BERNAMA