Malaysia mensasarkan 28 juta pelancong tahun ini
Bernama
Februari 22, 2014 18:22 MYT
Februari 22, 2014 18:22 MYT
Sasaran ketibaan 28 juta pelancong ke Malaysia tahun ini dijangka tercapai berikutan peningkatan kehadiran mereka sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014), kata Menteri Pelancongan dan
Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mohamed Nazri berkata tidak mustahil jumlah pelancong ke negara ini akan meningkat kerana 2013 menyaksikan penambahan sebanyak 700,000 pelancong, walaupun ketika itu berlangsungnya pilihan raya umum dan negara dilanda jerebu.
Bagaimanapun, setakat ini beliau belum mendapat angka rasmi berhubung jumlah kemasukan pelancong tetapi menurut beliau jika berdasarkan perkembangan terkini memang ada peningkatan.
"Kalau kita lihat di Kuala Lumpur ramai pelancong, terdapat orang Cina, namun mereka bukan rakyat Malaysia tetapi pelancong dari China," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan Kampung Chuar di sini hari ini.
Jambatan baharu itu dibina pada 4 Jun tahun lepas dan siap sepenuhnya pada 4 Jan tahun ini dengan kos pembinaan berjumlah RM1.9 juta.
Mohamed Nazri berkata beberapa pemilik hotel memaklumkan kepada beliau bahawa 90 peratus bilik hotel telah ditempah oleh pelancong yang akan berkunjung ke negara ini.
Selain itu, katanya, semua negeri masing-masing memberi kerjasama yang sangat baik dan bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong.
Beliau berkata usaha yang dilakukan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada kementerian sebaliknya kepada negeri itu sendiri untuk menjana ekonomi.
"Hampir semua negeri turut terlibat dalam International Tourism Bourse di Berlin Mac ini. Ini menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan-kerajaan negeri untuk memasarkan destinasi pelancongan di negeri masing-masing," katanya.
Ditanya tentang kesan musim kemarau yang melanda beberapa negeri terhadap industri pelancongan, Mohamed Nazri berkata banyak aktiviti pelancongan yang dijalankan tidak terjejas walaupun perubahan cuaca berlaku.