Malaysia menjadi destinasi pilihan pengeluar peranti perubatan - Dr Dzulkefly

Bernama
Disember 11, 2024 10:30 MYT
Dr Dzulkefly meluangkan masa melawat reruai pameran selepas merasmikan pembukaan IMDEC 2024 di KLCC. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi destinasi pilihan kepada lebih 200 pengeluar peranti perubatan dan lebih 30 syarikat multinasional dalam industri penjagaan kesihatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sektor peranti perubatan menyumbang kira-kira RM18 bilion kepada ekonomi negara pada 2023.
“Industri ini juga telah mencipta kira-kira 95,000 peluang pekerjaan di peringkat tempatan sejak 2012. Di bawah inisiatif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, sektor peranti perubatan telah dikenal pasti sebagai sektor penting yang meningkatkan nilai pelaburan negara kita.
“Sebagai contoh, Malaysia memenuhi 60 peratus permintaan global bagi sarung tangan, menjadikan negara kita pengeluar nombor satu sarung tangan dan produk berasaskan getah di dunia,” katanya semasa merasmikan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di sini pada Selasa.
Dr Dzulkefly berkata IMDEC 2024 mengetengahkan komitmen Malaysia dalam menerima kemajuan teknologi sambil mempromosikan penyelarasan peraturan merentasi sempadan.
“Ia adalah platform penting yang didedikasikan untuk menyelaraskan peraturan peranti perubatan global, memupuk kerjasama antarabangsa, dan menetapkan piawaian yang seragam,” katanya.
Bersama-sama dengan Mesyuarat Tahunan Parti Kerja Penyelarasan Global (GHWP) ke-28, IMDEC 2024 mengumpulkan lebih daripada 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pengunjung dari pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan.
Acara yang bertemakan: "'Mengoptimumkan Kuasa Teknologi Perubatan, Membentuk Masa Depan Penjagaan Kesihatan" ini, berfungsi sebagai platform untuk dialog industri, perkongsian ilmu, dan kerjasama dalam menangani cabaran kritikal, serta meneroka kemajuan teknologi yang sedang mengubah sistem penjagaan kesihatan.
Antara acara utama adalah Sesi Pembentangan Inovasi (INNOMed), yang memberi peluang pembiayaan dan kerjasama kepada usahawan tempatan untuk membangunkan peranti perubatan buatan tempatan yang disesuaikan dengan keperluan penjagaan kesihatan Malaysia.
-- BERNAMA
#peranti perubatan #Dr Dzulkefly Ahmad #ekonomi negara #IMDEC
;