Malaysia menduduki tempat kedua di Asia Tenggara untuk serangan malware pada 2022
Bernama
Julai 27, 2023 20:21 MYT
Julai 27, 2023 20:21 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat keselamatan siber global Kaspersky mendedahkan hari ini bahawa Malaysia berada di kedudukan kedua di rantau Asia Tenggara di belakang Indonesia daripada segi jumlah serangan perisian hasad (malware) mudah alih yang dihalang oleh syarikat itu tahun lepas.
Pengarah Urusan Kaspersky Asia Pasifik, Adrian Hia berkata rantau ini menyaksikan sejumlah 207,506 serangan perisian hasad mudah alih berjaya dihalang oleh penyelesaian Kaspersky, di mana Malaysia menyumbang sebanyak 27,377 kes.
"Pemantauan kami menunjukkan bahawa perisian hasad semakin merebak melalui saluran yang sah seperti perniagaan dalam talian (marketplace) dan iklan dalam aplikasi popular.
"Ini melibatkan kedua-dua aplikasi scam dan perisian hasad perbankan mudah alih yang berbahaya. Memandangkan semua orang kini disambungkan ke peranti mudah alih, ia telah mencipta permukaan serangan yang lebih besar untuk serangan perisian hasad berlaku," katanya kepada media selepas melancarkan portfolio Kaspersky baharu, hari ini.
Syarikat itu hari ini melancarkan portfolio penyelesaian pengguna dipermudah baharunya untuk pasaran Malaysia iaitu 'Kaspersky Standard, Plus dan Premium', direka untuk membawa antara muka pengguna dan pengalaman pengguna yang dipertingkatkan merentasi pelbagai platform.
Rangkaian rancangan yang dikemas kini kini adalah platform agnostik, memberikan perlindungan untuk pelbagai jenis peranti untuk mencerminkan tahap kefungsian yang tersedia kepada pengguna merentasi keseluruhan ekosistem perkhidmatan pengguna syarikat.
Ketua perniagaan-kepada-pengguna (B2C) Kaspersky untuk Asia Tenggara, Wei Ping Wong berkata syarikat itu telah merombak keseluruhan struktur antara muka produk serta pengalaman keseluruhan untuk penggunanya bagi membantu mereka memahami dan menghargai skop dan tahap perlindungan.
"Memastikan kehidupan pengguna kami selamat dan dilindungi adalah keutamaan bagi Kaspersky dan kami berbangga untuk melancarkan portfolio baharu ini yang seiring dengan realiti landskap ancaman siber dan keperluan pengguna kami," katanya.
-- BERNAMA