Malaysia menang 3 anugerah di Anugerah ASEAN Rice Bowl StartUp 2018
Astro Awani
Februari 24, 2019 08:45 MYT
Februari 24, 2019 08:45 MYT
Malaysia memenangi tiga anugerah di majlis Anugerah ASEAN Rice Bowl Startup 2018 yang berlangsung di Kuta, Bali, pada Sabtu.
Tiga syarikat tersebut adalah Dropee bagi kategori 'Best Newcomer', Program Teknologi Keusahawanan Malaysia (MTEP) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi kategori 'Best Ecosystem Initiative' dan VIDI bagi kategori 'Best Life Helper'.
Dropee yang ditubuhkan pada Jun 2016 merupakan platform perniagaan dan penyelesaian perusahaan sehenti atau 'one stop centre' dari membeli dan menjual secara pukal hingga menyelaraskan operasi dengan lebih cekap.
Bagi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dropee, Lennise Ng Zhee Ching, beliau berharap syarikatnya boleh berkembang dengan lebih besar dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital negara dan rantau Asia Tenggara.
“Setiap orang adalah pemenang. Saya berasa bangga dapat mewakili Malaysia di pentas serantau,” kata Ng selepas majlis penganugerahan berkenaan.
Sementara itu bagi Norhizam Kadir, Naib Presiden, Pertumbuhan Perkembangan Ekosistem MDEC, beliau berharap program Keusahawan Teknologi atau MTEP dapat merancakkan pertubuhan ekonomi digital dengan lebih pesat di rantau ini.
“Program MTEP ini sudah menarik lebih 100 pengasas teknologi dari seluruh dunia dalam tempoh setahun ini dan mereka sudah pun memulakan inisiatif dan program di Malaysia, rantau Asia Tenggara dan ke seluruh dunia.”
Inisiatif MTEP itu memenangi kategori Inisiatif Ekosistem Terbaik.
Pemenang daripada 6 kategori terpilih iaitu, Ruang Kerja Terbaik, Pengasas Terbaik, Pelabur Terbaik, Pendatang Baharu Terbaik dan Program Inkubator dan ‘Accelerator’ Terbaik akan bertanding di pentas antarabangsa iaitu di Global Startup Awards yang akan diadakan kelak.
Untuk tahun 2018, sebanyak 2,000 penyertaan diterima dari sembilan buah negara Asia Tenggara.
Panel terdiri daripada 100 orang juri dari seluruh dunia yang terdiri daripada usahawan, pelabur, penasihat perniagaan, media, organisasi pembangunan ‘startup’.
Penyertaan kemudiannya dinilai daripada segi potensi dan pertumbuhan sebenar, kapisiti skala saiz dan impak.
#ASEAN
#ASEAN Rice Bowl Startup 2018
#Bali
#Dropee
#Kuta
#Lennise Ng
#MDEC
#MyNEF
#Norhizam Kadir
#startup