Malaysia masih pertimbangkan cadangan Singapura untuk beli dua bidang tanah miliknya di Woodlands
Bernama
Februari 18, 2024 12:34 MYT
Februari 18, 2024 12:34 MYT
SINGAPURA: Cadangan Singapura untuk membeli dua bidang tanah milik Malaysia untuk tujuan pembangunan semula Pintu Masuk Woodlands (WCP) masih dalam perbincangan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata adalah logik bagi Singapura untuk membeli tanah itu tetapi persoalannya adalah sama ada Malaysia ingin menjual atau menukarnya dengan tanah lain, yang kedua-dua negara pernah lakukan sebelum ini, masih belum diputuskan.
"Singapura telah menyatakan hasratnya kepada Malaysia (untuk pembelian tanah itu). Pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia sedang berunding dan mengkajinya. Sehingga ini kami belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa yang berkaitan," kata Azfar yang ditemui oleh wartawan Malaysia pada Sabtu.
Menurut Azfar, semua tanah kerajaan di luar negara didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Beliau berkata Singapura telah menyatakan hasratnya tahun lalu untuk membeli tanah milik kekal yang meliputi kira-kira 2.3 ekar (0.9 hektar) secara keseluruhan.
Azfar mengatakan beliau telah mencadangkan keadah pertukaran tanah dengan tanah terlibat tetapi kata putus akan perkara itu akan dibuat kerajaan persekutuan.
Sebelum ini, pada September 2010, Singapura dan Malaysia telah menandatangani perjanjian pertukaran tanah untuk menyelesaikan perolehan yang melibatkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu di republik itu yang melibatkan tiga bidang tanah masing-masing di Tanjong Pagar, Kranji, dan Woodlands, serta tiga lagi di Bukit Timah.
Sebagai ganti, Singapura menawarkan pertukaran dengan empat kawasan tanah di Marina South dan dua kawasan di Ophir-Rochor.
WCP yang dibangunkan semula akan beroperasi secara berperingkat bermula tahun 2028.
ICA telah menjalankan kajian kelayakan dan teknikal yang meluas untuk menentukan jumlah tanah yang optimal yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan.
Tanah yang diperlukan untuk pembangunan semula WCP hanya boleh diperolehi melalui pemerolehan tanah dan reklamasi tanah.
Apabila ditanya sama ada Malaysia masih memiliki tanah di Singapura, Azfar berkata: "Kami (kerajaan persekutuan) memiliki kawasan tanah di sekitar pulau ini. Salah satunya adalah sebidang tanah seluas satu ekar di Holland Village," kata Azfar sambil menambah bahawa ini tidak termasuk tanah di republik itu yang dimiliki oleh Johor.
-- BERNAMA