Malaysia masih perlu waspada dengan perang perdagangan AS-China - BNM

Bernama
April 1, 2021 03:22 MYT
Menurut BNM, negara masih perlu berwaspada dengan risiko memuncaknya ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan China. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Walaupun Malaysia secara amnya meraih manfaat daripada perdagangan luar susulan pemulihan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan perdagangan dunia, namun negara masih perlu berwaspada dengan risiko memuncaknya ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata perdagangan Malaysia yang pelbagai dari segi sumber negara setakat ini telah memberi sokongan untuk mengurangkan kesan pertikaian perdagangan antara kedua-dua ekonomi utama dunia itu.
Berkaitan kedudukan ekonomi Malaysia berbanding dengan negara ASEAN lain, beliau berkata negara-negara lain di rantau ini mempunyai tahap pembangunan yang berbeza, justeru sukar untuk membuat perbandingan secara langsung.
Bagaimanapun dalam usaha menarik pelaburan, penting untuk melihat aspirasi pelaburan negara semasa mempertimbangkan jenis pelaburan yang akan dibawa masuk, yang dapat memenuhi aspirasi Malaysia, katanya dalam webinar anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia pada Khamis.
"Kita tidak seharusnya membandingkan atau bersaing dengan negara-negara ini. Apa yang lebih penting adalah apa yang kita perlukan dalam negara dan jenis pelaburan yang kita dapat bawa masuk.
"Kita memerlukan pelaburan berkualiti yang dapat menciptakan pekerjaan berkualiti tinggi untuk menyumbang kepada aspirasi negara ke arah menjadi ekonomi maju, dan jenis pelaburan yang dapat mendorong ekonomi ini ke arah pertumbuhan diterajui inovasi," katanya.
Sementara itu Ketua Penyelidikan MIDF, Imran Yusof pula berkata dunia sewajarnya menjangkakan perang perdagangan AS-China tidak berakhir dalam tempoh terdekat walaupun Joe Biden telah dipilih sebagai Presiden AS yang baharu.
"Kita dapat lihat dari bahasa dan kenyataan Biden yang masih mempertahankan kedudukan antagonis terhadap China.
"Satu-satunya perkara yang kita boleh jangka adalah mungkin tidak ada tindakan utama daripada pentadbiran sekarang.
"Tidak seperti Donald Trump, Biden mempunyai pendekatan yang agak tenang," katanya.
Beliau berkata pertikaian berterusan itu pasti akan memberi kesan kepada Malaysia.
Satu-satunya cara mengatasi masalah tersebut adalah mencari jalan untuk meraih manfaat daripada perang perdagangan seperti menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat yang ingin melaksanakan pempelbagaian, katanya.
-- BERNAMA
#perang perdagangan #Amerika Syarikat #China #BNM #Bank Negara Malaysia #Abdul Rasheed Ghaffour #ekonomi malaysia #ASEAN #Joe Biden #Donald Trump
;