Malaysia masih destinasi utama pilihan pelancong Asia Barat
Hasimi Muhamad
September 5, 2019 18:35 MYT
September 5, 2019 18:35 MYT
Malaysia terus menjadi destinasi utama pilihan pelancong dari Asia Barat apabila menyaksikan Arab Saudi menduduki tangga teratas dalam indeks Prestasi Pelancongan Malaysia bagi separuh pertama tahun 2019.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, rakyat negara Islam itu menyumbang sebanyak RM11,376.90 daripada perbelanjaan per kapita negara ini iaitu peningkatan sebanyak enam peratus (%) berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kalau kita lihat lima negara terutamanya perbelanjaan perkapita adalah dari Asia Barat, yang mana menduduki tangga pertama adalah Arab Saudi, diikuti United Kingdom (RM5,241.50); Kanada (RM4,593.10); China (RM4,546); serta Amerika Syarikat (AS) (RM4,537.90).
“Inisiatif kita untuk pasaran Asia Barat adalah pasaran jarak jauh yang menjadi keutamaan dan Malaysia masih menjadi pilihan pertama mereka (pelancong Arab Saudi).
“Kebanyakan yang datang adalah mereka yang berkeluarga dan kita cuba menarik lebih ramai kedatangan pelancong dari sana kerana bagi mereka, melancong ke Amerika Syarikat atau negara Eropah tidak mesra (pelancong),” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 di Dewan Tun Hussein On, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Sementara itu, Musa berkata, kehadiran pelancong luar negara merekodkan pertumbuhan 1.9 peratus daripada perbelanjaan perkapita, selain mencatatkan kehadiran 13.35 juta orang pada separuh pertama tahun ini.
INFO
10 pasaran tertinggi pelancong ke Malaysia separuh tahun 2019:
1. Singapura (5.3 juta)
2. Indonesia (1.8 juta)
3. China (1.5 juta)
4. Thailand (990,565)
5. Brunei (627,112)
6. India (354,486)
7. Korea Selatan (323,952)
8. Filipina (210,974)
9. Vietnam (200,314)
10. Jepun (196,561)
#Brunei
#Cuba
#Islam
#Korea Selatan
#pelancong
#pelancongan
#PWTC
#Singapura
#tahun melawat malaysia
#Tourism Malaysia
#United Kingdom